ALOR SETAR – Parti Islam SeMalaysia (Pas) tidak berhasrat untuk mempersoalkan keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menamakan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-11.
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini kerana sebarang keputusan akhir hanya akan ditentukan dalam mesyuarat Perikatan Nasional (PN) yang dimuktamadkan secara bersama.
“Kita dalam PN, apa pun keputusan penting, yang melibatkan dasar kita akan bawa dalam mesyuarat PN, tapi apa pun keputusan, kita akan bawa dalam mesyuarat.
“Bagi kita parti-parti politik itu (Bersatu), kita hormati hak masing-masing,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas ke-66 di Kompleks Pas Kedah, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu yang berakhir pada Ahad meluluskan usul menamakan Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh sebagai calon Perdana Menteri ke-11.
Menurut Tuan Ibrahim, Pas tidak mahu tergopoh-gapah dalam menentukan calon Perdana Menteri, sebaliknya parti Islam itu lebih fokus untuk memenangi pilihan raya akan datang.
“Dalam pas, kita tahu banyak tokoh yang berupaya dan mampu kita tonjol tapi bagi kami, lebih kita fokus kepada menang pilihan raya, gerak kerja perlu dipertingkatkan berbanding dengan calon Perdana Menteri,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, beliau berhadap calon Perdana Menteri daripada Perikatan Nasional (PN) dalam kalangan anak muda.
“Sudah tentu kita mahu calon anak muda diangkat sebagai Perdana Menteri, nak namakan Afnan Hamimi pun boleh,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















