Amir Hamzah menghadiri sesi libat urus Kampung Angkat Madani di Pulau Betong, Balik Pulau hari ini.

 

BALIK PULAULangkah kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 bermula 30 September ini dijangka menghasilkan penjimatan fiskal negara berjumlah RM4 bilion setahun.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penyasaran itu juga turut mengekalkan Malaysia berada dalam kelompok negara yang menawarkan harga bahan api termurah di dunia apabila RON95 bersubsidi ditetapkan pada paras RM1.99 seliter.

“Harga petrol bersubsidi pada RM1.99 ini tetap menempatkan Malaysia dalam kelompok negara yang menawarkan bahan api paling murah di dunia.

“Malah apabila harga pasaran diapungkan, kita masih lagi kekal antara negara dengan harga terendah di rantau ini.

Amir Hamzah.

“Langkah itu juga sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan memastikan rakyat, khususnya golongan B40 dan M40, terus menikmati faedah subsidi tanpa mengira tahap pendapatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi libat urus Kampung Angkat Madani di Pulau Betong di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan harga baharu RON95 menerusi inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang melibatkan semua rakyat Malaysia bermula 30 September ini.

Tambah Amir Hamzah, kajian kerajaan juga mendapati jumlah kelayakan subsidi 300 liter sebulan memadai bagi kegunaan majoriti rakyat.

“Kita juga sudah buat kajian 300 liter sebulan itu memadai untuk kegunaan biasa seorang pemandu kereta termasuk bagi mereka yang berulang-alik antara Seremban dan Putrajaya atau Kuala Lumpur iaitu kira-kira 170 kilometer.

“Namun bagi pemandu e-hailing, kerajaan akan benarkan mereka membuat rayuan untuk mendapatkan tambahan kuota kerana itu merupakan sumber pekerjaan tetap,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan, tiada kad khas diperkenalkan untuk pelaksanaan subsidi itu kerana MyKad akan digunakan sebagai dokumen pengesahan utama.

“Kerajaan akan menggunakan MyKad sebagai dokumen pengenalan diri utama. Kita percaya sistem sedia ada cukup selamat dan praktikal untuk dilaksanakan tanpa menambah beban rakyat.

“STR sebelum ini telah membuktikan keberkesanan penggunaan MyKad apabila bantuan berjaya disalurkan kepada lebih sembilan juta rakyat Malaysia.

“Kita mahu rakyat bangga memiliki MyKad kerana selain menjadi dokumen pengenalan diri, ia juga menjadi bukti bahawa hanya rakyat Malaysia layak menikmati subsidi ini,” katanya.

Mengulas penjimatan subsidi, Amir Hamzah berkata, jangkaan penjimatan subsidi antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun boleh dicapai sekiranya harga minyak mentah dunia berada pada paras sekitar AS$75 setong. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast