Suspek dibawa ke Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang bagi mendapatkan perintah reman.

BUTTERWORTH – Seorang penganggur yang mempunyai 17 rekod lampau direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes samun warga emas berusia 88 tahun di Taman Kerapu di sini pada minggu lalu.

Perintah reman sehingga 28 September itu dikeluarkan oleh Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal di Mahkamah Butterworth hari ini bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, suspek berusia 42 tahun tiba di mahkamah pukul 12 tengah hari dengan diiringi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Hasryman Osman.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira 3 petang pada 13 September lalu, mangsa yang tinggal seorang diri didatangi seorang lelaki menaiki motosikal di hadapan rumahnya.

Suspek kemudian bertindak menolak mangsa hingga terjatuh sebelum melarikan dompet berisi wang tunai RM200, kad pengenalan serta lesen memandu.

Bertindak atas laporan mangsa, polis menjalankan siasatan sebelum berjaya menahan suspek di Taman Mewah di sini pada  8 malam semalam.

Hasil semakan polis mendapati suspek turut disyaki terbabit dalam satu lagi kes samun melibatkan seorang warga emas berusia 82 tahun.

Selain itu, suspek tersebut juga mempunyai 17 rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast