Antara dadah yang dirampas.

GEORGE TOWN – Polis menumpaskan satu sindiket memproses dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) serta pelbagai jenis dadah lain dengan rampasan bernilai lebih RM1.7 juta dalam dua serbuan berasingan.

Operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Pulau Pinang bermula 9 malam semalam hingga 8 pagi ini membawa kepada tangkapan dua lelaki tempatan berusia 27 dan 50 tahun di sekitar kawasan George Town dan Jelutong.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, serbuan pertama dijalankan di sebuah parkir kenderaan di George Town membawa kepada penahanan seorang lelaki serta rampasan lima peket plastik berisi serbuk disyaki MDMA seberat 129 gram.

Peralatan yang digunakan untuk memproses dan mengedar dadah yang dirampas pihak polis.

Jelas beliau, susulan itu polis menahan seorang lagi lelaki yang juga ahli sindiket berperanan sebagai ahli kimia di sebuah premis di Jelutong.

“Dalam tangkapan sama kita menemui 146 peket plastik berisi serbuk disyaki MDMA dengan berat 3.7 kilogram, empat botol plastik mengandungi serbuk MDMA seberat 6.2 kilogram serta pelbagai jenis dadah lain.

“Turut dirampas 10 papan aluminium foil mengandungi 100 biji pil disyaki Erimin 5, satu peket plastik berisi serbuk putih disyaki ketamin seberat 12.83 gram serta 75 biji pil disyaki ekstasi seberat 41.59 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, saringan awal mendapati kedua-dua suspek positif dadah serta mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.

“Sindiket ini dikatakan aktif sejak awal bulan ini dan dadah yang dirampas boleh digunakan oleh seramai 50,000 orang.

Dadah yang dirampas dalam dua serbuan berasingan di Pulau Pinang.

“Tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan sitaan sebuah kereta jenis Proton X50 bernilai RM82,000.

“Kedua-dua mereka direman selama tujuh hari sehingga 5 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast