perkhemahan
Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Perjumpaan antara pimpinan utama dalam Perikatan Nasional (PN) termasuk Pas, Bersatu, Gerakan dan parti-parti komponen lain merupakan perkara biasa dan ia kerap diadakan.

Malah, ia juga bukan sesuatu yang luar biasa atau mengejutkan, kata seorang pemimpin kanan PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Menurut Setiausaha Agung Pas itu, mesyuarat dan perbincangan tidak rasmi sering diadakan sama ada di pejabat, lokasi seperti Publika mahupun tempat lain, termasuk ketika sidang Parlimen berlangsung.

“Kita dalam Perikatan Nasional sentiasa ada perjumpaan dengan Gerakan, MIPP, apatah lagi dengan Bersatu. Jadi, kalau nak kata ‘perjumpaan top five’ itu perkara biasa.

“Malah, semasa sidang Parlimen pun, Presiden Pas selalu buat sesi macam ‘usrah’ yang dihadiri semua Ahli Parlimen Perikatan Nasional,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Pas, di Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Menurut beliau, hubungan antara parti-parti dalam PN amat kukuh dan perjumpaan sesama pimpinan adalah bukti kerjasama erat yang wujud dalam gabungan tersebut.

Berikutan itu, beliau menolak dakwaan berlaku pertemuan rahsia yang membawa maksud tertentu.

Sebaliknya Takituddin memberitahu, beban untuk membuktikan dakwaan tersebut adalah tanggungjawab pihak yang membuat tuduhan.

“Saya rasa tuduhan-tuduhan seperti itu tidak berasas. Siapa yang mendakwa, dia yang kena buktikan. The burden of proof is on the prosecution (beban pembuktian terletak pada pihak yang mendakwa).

“Kalau kata perjumpaan itu berlaku sekali, saya kata bukan sekali, banyak kali. Ini perkara biasa. Saya mengesahkan 200 paratus,” katanya.

Mengulas mengenai isu calon Perdana Menteri daripada PN bagi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), beliau menjelaskan, tiada keputusan rasmi dibuat setakat ini.

“Tahun baru ni, Presiden Pas pun kata kita tak nak namakan sesiapa sebagai Perdana Menteri. Kita nak menang PRU16 dulu, Perdana Menteri datang kemudian.

“Kita ada ramai calon, bukan satu. Tapi, perkara itu tidak timbul kerana belum pernah ada keputusan rasmi daripada PN mengenai calon Perdana Menteri,” katanya.

Menurutnya, mana-mana kenyataan yang menyatakan sebaliknya, tidak mewakili keputusan rasmi gabungan.

“Perikatan Nasional bukan Pas sahaja. Kalau ada sebarang keputusan, ia mesti datang daripada PN sebagai satu gabungan. Setakat ini, tak pernah ada,” katanya sebagai mengulas video tular yang didakwa memaparkan suara seorang pemimpin Bersatu.

Video tersebut mendakwa lima pemimpin tertinggi Pas telah mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin Bersatu dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang dikatakan mahu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin diangkat sebagai calon Perdana Menteri.

Sementara itu, Takiyuddin menimbulkan tanda tanya terhadap sikap pemimpin tertinggi UMNO yang secara terbuka tidak menyokong pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang dibentangkan di Parlimen baru-baru ini.

“Timbalan Presiden UMNO dilaporkan mengumumkan bahawa parti itu tidak menyokong pembentangan RUU tersebut, satu pendirian yang menimbulkan tanda tanya.

“Jadi itu kita agak hairan sikit,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau berharap pada 4 Oktober depan, semua ahli Parlimen UMNO dan pimpinan parti itu akan berdiri bersama dalam menyokong usul yang bakal dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Kita harap empat hari bulan ini, ahli-ahli Parlimen UMNO dan pemimpin UMNO juga akan bersama,” katanya.

Situasi ini sekali lagi mencerminkan dinamika politik yang terus berubah dalam UMNO, terutamanya melibatkan isu-isu dasar serta pendirian terhadap RUU yang dikemukakan oleh kerajaan.

Penolakan terhadap RUU berkenaan berkenaan semakin memuncak apabila pelbagai pihak menyuarakan kebimbangan terhadap lima ancaman utama yang didakwa terkandung dalam cadangan pelaksanaan undang-undang tersebut.

Lima ancaman yang didakwa dikenal pasti itu ialah ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, menindas pemilik minoriti, tiada pampasan yang adil, pro kapitalis serta merompak tanah rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast