SEPANG – Delegasi Malaysia yang juga pempengaruh, Zainal Rashid Ahmad atau lebih dikenali sebagai ZRA mengesahkan kapal Fair Lady yang dinaikinya telah dikepung oleh tentera Zionis pukul 9.15 pagi waktu tempatan di perairan Gaza.
Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipaparkan secara langsung di Pusat Kawalan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) menunjukkan kapal yang membawa ZRA dan juga Ustaz Mad Kechik sedang mengalami masalah enjin sebelum dikepung sebuah kapal dan tiga bot.
ZRA yang juga bekas wartawan penyiaran sempat memaklumkan rakaman video itu mungkin menjadi momen terakhir dirinya serta peserta lain kerana mereka perlu melemparkan telefon bimbit milik masing-masing.
Sejurus itu, rakaman CCTV di atas kapal tersebut kemudiannya telah terputus dan terpadam.
“Jadi kami dah dikepung oleh empat buah bot (iaitu) satu kapal dan tiga bot, ini mungkin menjadi momen terakhir tuan-tuan melihat kami. Dan saya jangka kapal yang ada itu dah dekat, kami dapat arahan daripada (kapten) untuk lemparkan telefon (bimbit).
“Di sebelah sana ada dua kapal dan didepan kami juga ada satu kapal (mengelilingi), biasanya ia akan menghasilkan ombak besar. Yang di sebelah sana itu bot, saya tak boleh tunjuk atau pusing, kami mungkin akan menerima penjejakan masuk daripada bot.
“Boleh lihat dalam kamera di sebelah sana ada kapal yang paling hampir,” katanya dalam rakaman video itu.
Pagi tadi, media melaporkan kapal Fair Lady dinaiki ZRA dan Ustaz Mad Kechik masih belum ditahan oleh tentera Israel.
Kapal itu dilapor bergerak pada kelajuan dua knot dan masih berada di zon merah tiga iaitu sekitar pukul 6.16 pagi waktu tempatan. – MalaysiaGazette















