KUANTAN – Seorang lelaki warga emas maut setelah motosikal dinaikinya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Kuantan-Kemaman berhampiran Bukit Palas, Cherating petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 1.55 petang.
“Siasatan awal mendapati, pemandu kereta jenis Mercedes Benz dalam perjalanan menghala ke arah Kemaman dari Kuantan.
“Apabila perjalanan sampai di tempat kejadian, tiba-tiba penunggang motosikal tersebut menyeberang jalan dari kanan ke kiri menyebabkan pemandu kereta itu tidak sempat mengelak lalu terlanggarnya,” katanya dalam kenyataan.
Akibat kemalangan itu, Ashari berkata, mangsa bernama Mokhtar Ismail, 69 beralamat di Kemaman, Terengganu meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala, pemandu kereta yang merupakan lelaki berusia 45 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette
















