Seramai 54 peserta Ekspedisi Kajian Kelestarian Trek Gunung Tahan dari Merapoh ke Kuala Tahan, gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia berjaya menamatkan pendakian pada semalam

KUANTAN – Bentuk muka bumi dan keindahan flora dan fauna memukau struktur Gunung Tahan sememangnya berpotensi untuk dikomersialkan menjadi lokasi pendakian gunung di bertaraf dunia.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri, Fadzli Mohamad Kamal berkata, masih ramai pendaki luar atau dalam dalam negara yang belum sampai di lokasi penggunungan yang mencabar itu.

Sehubungan itu, pelbagai pihak perlu memainkan peranan masing-masing bagi mempromosikan Gunung Tahan supaya diketengahkan menjadi destinasi pergunungan lebih popular.

”Gunung Tahan bukan sekadar destinasi pendakian, tetapi lambang ketahanan, keindahan alam semula jadi dan potensi besar pelancongan rekreasi di Negeri Pahang.

”Ekspedisi Kajian Kelestarian Trek Gunung Tahan dari Merapoh ke Kuala Tahan telah dijalankan, selain memberikan cadangan kepada kerajaan negeri bagi menambah baik fasiliti di sepanjang trek pendakian gunung ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Fadzli berkata, antara cadangan penambahbaikan trek Gunung Tahan seperti tapak perkhemahan, tandas, bekalan air, sistem pencahayaan, papan tanda keselamatan serta infrastruktur telekomunikasi.

Kesemua hasil kajian dan cadangan akan dikemukakan kepada Kerajaan Negeri Pahang serta dipersembahkan kepada Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurutnya, lebih 20 agensi kerajaan melibatkan 54 peserta itu akan memperincikan cadangan yang akan dikumpulkan setelah menempuh perjalanan sejauh 85 kilometer.

Ekspedisi Kajian Kelestarian Trek Gunung Tahan dari Merapoh ke Kuala Tahan, gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia, mengambil masa enam hingga tujuh hari pendakian mencabar yang menuntut ketahanan fizikal dan mental dengan berjalan hampir 12 jam setiap hari.

Misi tersebut  membawa makna simbolik sebagai pengenalan kepada Pelancaran Majlis Rekreasi Pahang, yang akan disempurnakan oleh Sultan Pahang pada Ahad, 12 Oktober ini.

Terdahulu, Fadzli yang turut serta dalam ekspedisi yang berjaya penamatkan pendakian selepas tiba di Jeti Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut, semalam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast