Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan tidak ada berlaku sebarang pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia kerana pihaknya tidak menghasilkan sebarang bentuk dokumen tujuh pemain warisan itu.

“Di pihak kita tidak ada, apa dia dokumen yang kita hasilkan? Bila FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) kata ada pemalsuan dokumen, dia bukannya maksudkan dokumen daripada kita, tidak ada,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Terdahulu, Saifuddin Nasution berkata, KDN telah pun meluluskan tujuh pemain daripada FAM untuk mendapatkan kewarganegaraan melalui jalur naturalisasi.

Jelas beliau, ia termasuk dalam senarai 23 pemain yang pernah diluluskan sepanjang beliau menggalas tugas sebagai Menteri Dalam Negeri.

Menurutnya, keputusan dibuat mengikut Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan iaitu permohonan untuk menjadi warganegara yang datang daripada kerakyatan asing.

“Isu ini berbangkit kerana tindakan yang diambil oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ke atas pemain bolasepak Harimau Malaya.

“Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan kerajaan mempertimbang dan memproses keputusan tentang warganegara.

“Ada tiga rukun digunakan untuk membuat keputusan ini iaitu pemohon itu sendiri mesti memohon dan tak boleh melalui ejen. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tak pernah guna khidmat ejen.

“Pemohon kena bermastautin di Malaysia dalam satu tempoh, berkelakuan baik dan pemahaman terhadap bahasa Melayu mencukupi. Bila kita semak, perkara itu dipatuhi,” katanya ketika menjawab soalan asal Zakri Hassan (PN-Kangar) dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin menambah, ia belum mencukupi kerana permohonan diproses mengikut Kaedah-Kaedah Warganegara 1964 yang membawa kepada keperluan mengisi Borang C dilengkapi butiran pasport dan dokumen berkaitan.

“Di sana (JPN), ada satu perkara lagi iaitu FIFA mengatakan seseorang yang mahu bermain dengan sesebuah negara, pertama pemain kena lahir di negara tersebut.

“Kedua, ibu atau bapa bagi tujuh pemain ini dilahirkan di negara tersebut dan yang ketiga, datuk dan nenek pemain dilahirkan di negara tersebut.

“Keempat, pemain telah hidup secara berterusan di satu tempat. Mana-mana satu daripada syarat ini kalau dipatuhi, pemain itu layak mewakili negara dan berdaftar dengan FIFA. Itu urusan FAM,” ujarnya.

FIFA sebelum ini mengemukakan bukti berhubung penggunaan dokumen palsu dalam proses pendaftaran tujuh pemain berdarah warisan Malaysia.

Dalam laporan rasmi yang ditandatangani Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FIFA, Jorge Palacio, badan induk itu menjelaskan wujud percanggahan ketara antara sijil kelahiran asal yang diperoleh FIFA dengan dokumen yang dikemukakan FAM bagi menyokong kelayakan pemain-pemain terbabit.

Antara kes yang menjadi tumpuan ialah pemain tengah kelahiran Belanda, Hector Hevel apabila salinan dokumen FAM mendakwa datuknya lahir di Melaka, namun sijil asal menunjukkan tempat lahir sebenar di The Hague, Belanda.

Situasi sama turut membabitkan Jon Irazabal yang mana dokumen FAM menyatakan datuknya berasal dari Kuching, Sarawak, sedangkan rekod asal mengesahkan kelahiran di Villa de Guernica, Sepanyol.

FIFA turut menyenaraikan semakan tempat lahir asal keluarga Gabriel Palmero dilahirkan di Santa Cruz de la Palma, Sepanyol dan datuk Facundo Garcés berasal dari Santa Fe de la Cruz, Argentina.

Datuk kepada Rodrigo Holgado pula dilahirkan di Buenos Aires, sementara nenek kepada Imanol Javier Machuca berasal dari Roldan manakala João Figueiredo, datuknya berasal dari Abre Campo, Brazil.

Kesalahan melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dan penggunaan dokumen palsu dalam urusan rasmi itu menyaksikan FAM dikenakan denda RM1.8 juta, manakala setiap pemain terbabit didenda RM11,000 serta digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast