Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR –  Kerajaan komited menoktahkan gejala buli yang digambarkan sebagai ‘jenayah senyap’ dengan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli 2025 pada sesi Parlimen kali ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu adalah langkah menyeluruh bagi memperkukuh kerangka perundangan untuk membanteras perbuatan zalim tersebut di semua peringkat masyarakat.

Beliau berkata, seluruh kekuatan jentera kerajaan digembleng merentasi pelbagai kementerian bagi menangani isu buli secara bersepadu dan berkesan.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membangunkan Kerangka Antibuli Sekolah (SAFE) sebagai panduan menyeluruh bagi pencegahan buli di sekolah, termasuk memperkasa peranan guru dan murid melalui Program Amalan Sekolah Penyayang.

Di peringkat pengajian tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mempertingkat keselamatan mahasiswa dengan menambah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) serta menganjurkan program sahsiah dan kepimpinan sebagai usaha mencegah budaya buli dan ragging.

Sementara itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyediakan sokongan psikososial kepada mangsa melalui sesi kaunseling berkelompok, manakala Kementerian Komunikasi melaksanakan Kempen Internet Selamat untuk meningkatkan kesedaran keselamatan siber dalam kalangan murid sekolah.

Inisiatif Rakan Muda turut digerakkan melalui program ‘Lawan Buli’ di peringkat akar umbi, sebagai pendekatan membentuk masyarakat yang lebih prihatin dan berempati terhadap mangsa.

Menurutnya, gejala itu sama ada di sekolah, universiti, tempat kerja mahupun di alam maya telah membunuh potensi, menanam trauma berpanjangan, malah meragut nyawa insan.

“Kita mesti putuskan rantaian kezaliman ini sampai ke akar, melalui didikan empati dan penguatkuasaan tanpa kompromi,” tegas Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast