GEORGE TOWN – Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat mencadangkan agar penilaian semula kelayakan guru serta pemantapan sistem keselamatan sekolah dijadikan agenda utama negara.
Pengerusinya, L. Francis Xavier berkata, ia susulan deretan insiden tragis melibatkan pelajar di sekolah sepanjang tahun ini termasuk kes buli, kematian terjatuh lubang kumbahan, keganasan seksual dan jenayah sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap tahap keselamatan pelajar serta kecekapan sistem pendidikan negara kini dilihat semakin rapuh.
Jelas beliau, langkah penilaian semula bukan bertujuan menyalahkan guru, sebaliknya sebagai mekanisme profesional untuk memastikan mereka bersedia menangani cabaran pendidikan semasa termasuk isu disiplin pelajar, keselamatan dan perubahan sosial.
“Kami tidak mempertikaikan sumbangan guru, tetapi penilaian semula kelayakan dan latihan berkala ini adalah langkah profesional untuk memastikan mereka benar-benar memahami subjek, cekap dalam pedagogi dan mampu mengurus pelajar dengan berkesan.
“Ini kerana guru kini berdepan generasi pelajar yang lebih terdedah kepada pengaruh media sosial, maklumat tanpa tapisan dan budaya luar. Situasi ini menuntut pendekatan pengajaran serta kawalan yang lebih strategik dan berkesan.

“Bukan semua cabaran boleh ditangani dengan pendekatan lama. Kita perlukan guru yang bukan sahaja menyampaikan ilmu tetapi juga berperanan sebagai pembimbing, pengawal dan pelindung kepada pelajar,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Francis Xavier, latihan peningkatan profesional yang dilaksanakan secara berkala akan memberi ruang kepada guru mempelajari kaedah pembelajaran moden, teknik pengurusan bilik darjah serta kaedah menangani pelajar dalam situasi mencabar.
“Guru yang menunjukkan prestasi cemerlang wajar diberi pengiktirafan manakala guru yang menghadapi kelemahan pula, perlu dibantu memperbaiki diri atau dipertimbangkan semula kelayakannya secara adil dan berhemah.
“Kita juga menggesa agar sistem pengambilan guru diperketatkan dengan hanya calon yang benar-benar layak dan menepati piawaian dibenarkan mengajar.
“Justeru kita harap agar kerjasama antara kerajaan, sekolah, ibu bapa dan masyarakat dipertingkat bagi memastikan keselamatan dan pembentukan sahsiah pelajar tidak dipandang ringan,” katanya.
Media semalam melaporkan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun yang menikam pelajar perempuan sehingga mati di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya. – MalasyiaGazette
















