Al-Adam Mikail (kanan) memegang piala kejuaraan dimenangi pada FIM MiniGP Malaysia 2025 disaksikan ibunya, Ruseedah Useng dan ayah, Mohd Hamirul Aliff Abd Halim di rumah mereka di Sungai Isap, Kuantan

KUANTAN – Pelumba muda berbakat besar, Al-Adam Mikail Mohd Hamirul Aliff, 11, kini menjadi tumpuan selepas muncul juara FIM MiniGP Malaysia 2025 kategori 160cc baru-baru ini.

Anak Pahang yang berasal dari Sungai Isap bakal beraksi ke pentas berprestij FIM MiniGP Dunia Final di Valencia, Sepanyol bulan depan bersama seorang lagi pelumba muda, Qasha Irfan Azlan, 11, dari Terengganu.

Ketika ditemui di kediamannya di sini, Al-Adam meluahkan rasa terkejut dan teruja kerana berjaya ke pentas dunia dalam arena permotoran yang menjadi minatnya sejak berusia tujuh tahun.

Al-Adam Mikail ketika ditemui di rumahnya di Sungai Isap, Kuantan

“Saya gembira sebab berjaya ke Sepanyol pada tahun pertama berlumba dalam FIM MiniGP Malaysia bagi kategori 160cc. Saya tak terlalu mensasarkan gelaran juara sebab ini pertama kali beraksi di pentas dunia sebaris pelumba hebat lain.

“Tapi, saya akan buat yang terbaik sementara menimba pengalaman supaya dapat pertingkat kemahiran untuk masa hadapan,” kata anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Al-Adam mengakui sedikit gementar kerana akan beraksi di litar yang asing baginya. Tambahan pula, katanya dia akan berlumba dalam cuaca sejuk di Valencia, Sepanyol nanti.

Namun, sokongan daripada kedua ibu-bapa, kakak-kakak dan guru-guru serta rakan-rakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Isap menjadi pembakar semangatnya.

“Saya akan cuba yang terbaik berlumba dalam cuaca sejuk,” katanya sambil tersenyum.

Ruseedan Useng (kiri) dan Mohd Hamirul Aliff Abd Halim (kanan) mencium anak mereka, Al-Adam Mikail (tengah)

Dalam pada itu, Al-Adam mendedahkan dia akan makan buah epal hijau atau limau mandarin sebelum memulakan perlumbaan kerana buah-buahan masam membekalkan tenaga tambahan kepadanya ketika beraksi.

Sementara itu, bapanya, Mohd Hamirul Aliff Abd Halim, 33, yang akan mengiringi Al-Adam berkata, mereka kini giat melakukan persediaan termasuk menambah sesi latihan kecergasan sebelum berangkat ke Sepanyol pada 7 November depan.

Beliau berharap agar anak tunggal lelakinya itu dapat mempamerkan aksi terbaik berentap dengan pelumba muda daripada 23 negara dalam kejuaraan dunia FIM MiniGP 2025 nanti.

Mohd Hamirul Aliff Abd Halim

“Dari segi persediaan kami seperti pakaian dan sebagainya, baru kira-kira 50 peratus.

“Saya masih mencari dana untuk tiket perjalanan dan perbelanjaan saya sebab Pengurusan ZK Racing menanggung keseluruhan perbelanjaan Al-Adam,” katanya.

Mohd Hamirul Aliff dalam masa sama turut menghargai bantuan dana daripada pihak Kerajaan Negeri Pahang jika ada bagi menampung perbelanjaan lain termasuk sesi latihan untuk Al-Adam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast