Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

KUALA LUMPUR – Peningkatan kes jenayah di sekolah seperti cabul, buli, rogol dan bunuh adalah satu isyarat daripada Allah agar manusia kembali kepada fitrah dan penyelesaian berlandaskan Islam.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Afnan Hamimi Taib Azamudden menyifatkan kejadian-kejadian yang menyayat hati ini bukan sekadar jemayah, ia perlu dilihat kepada aspek musibah yang mempunyai isyarat tertentu supaya masyarakat beringat dan menginsafi kejadian tersebut.

“Kembali kepada fitrah bermaksud kembali kepada penyelesaian Islam. Pemimpin, rakyat, undang-undang, persekitaran, rumah tangga, media sosial, pengajaran, pembelajaran, semua perlu diukur kembali.

“Adakah selari dengan kehendak Islam. Pemimpin elok, eloklah rakyat. Pemimpin rosak, lingkuplah rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Afnan yang juga Ahli Parlimen Alor Setar menambah, dalam menghadapi krisis moral ini, manusia perlu kembali meminta pertolongan Allah dengan penuh sabar dan solat.

“Minta tolong manusia, kalau kena gaya, baru manusia tolong. Tapi minta tolong dengan Allah, Allah pasti tolong. Ada caranya, SABAR dan Solat,” katanya.

Beliau menegaskan pentingnya mendidik anak sejak kecil, khususnya dalam mendirikan solat.

“Ibu bapa mesti ajar anak solat ketika masuk usia tujuh tahun. Apabila masuk usia 10 tahun, jika tidak solat, bolehlah dipukul, bukan sampai berdarah, tetapi sebagai peringatan,” jelasnya.

Katanya lagi, zaman dahulu rotan digantung di dinding rumah sebagai simbol disiplin dan tanggungjawab terhadap solat.

Namun, beliau kesal apabila zaman kini ibu bapa pula yang marah kepada guru kerana menegur anak mereka.

“Yang buat salah dibela, yang menegur dimarahi. Dunia sudah terbalik,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast