Anwar bersalam dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di Alor Setar sebelum ini. - (Gambar fail).

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini bersetuju untuk menamatkan pertikaian peribadi mereka dalam prosiding kes saman fitnah yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Alor Setar.

Perdana Menteri dan Menteri Besar Kedah itu dalam kenyataan bersama memaklumkan bahawa setelah mempertimbangkan kesan daripada tindakan saman serta kos perundangan yang bakal ditanggung kedua-dua pihak, mereka bersetuju untuk menamatkan pertikaian berkenaan secara muktamad memandangkan terdapat banyak isu yang lebih besar dan penting perlu diberi perhatian demi kepentingan negara.

“Muhammad Sanusi dengan secara terbuka, suci hati dan tanpa syarat menarik balik kenyataan-kenyataan yang telah dibuat olehnya pada 13 Nov 2022 terhadap Anwar. Muhammad Sanusi juga beriltizam untuk tidak mengulangi mana-mana perkataan yang menjadi asas tindakan guaman ini.

“Selaras dengan itu, Anwar, yang menghargai usaha murni itu bersetuju untuk menarik semula saman sivil difailkannya terhadap Muhammad Sanusi tanpa perintah mengenai kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, bahawa langkah penarikan balik saman tersebut merupakan langkah bagi menjernihkan keadaan dan mengekalkan hubungan yang baik dan berhemah antara kedua-dua pihak.

Anwar dan Muhammad Sanusi turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Hakim Dr John Lee Kien How @ Mohammad Johan Lee kerana tanpa usaha mediasi beliau, penyelesaian itu tidak mungkin dapat dicapai.

Kedua-dua pemimpin itu juga merakamkan penghargaan kepada pegawai mahkamah yang terlibat atas profesionalisme dan budi bicara mereka dalam mengendalikan kes berkenaan.

Kedua-dua pihak turuberharap agar penyelesaian itu diterima serta dihormati oleh semua pihak dan tidak dijadikan bahan untuk menjejaskan kesejahteraan, perpaduan serta keharmonian negara.

Sementara itu, peguam Datuk S.N.Nair yang mewakili Anwar ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu.

Pada 13 Dis 2022, Anwar menyaman Muhammad Sanusi berhubung kenyataan berbaur fitnah yang mengaitkannya dengan perlakuan tidak bermoral dalam satu kempen ceramah “Jelajah PN Best Tambun”. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast