Penguat kuasa JAINJ melakukan pemeriksaan di sebuah kondominium mewah di Bandaraya Johor Bahru, pagi tadi dan menahan pasangan Singapura kerana berkhalwat.

JOHOR BAHRU – Pasangan warga Singapura berstatus suami orang dan janda tidak menyangka dan terkejut apabila ditangkap khalwat oleh pengkuat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di sebuah kondominium mewah di bandar raya ini pagi tadi.

Menurut sumber JAINJ menerusi satu kenyataan, lelaki berkenaan yang berusia 30-an dan wanita berumur lingkungan 20-an ditahan pukul 9 pagi.

“Ketika pintu diketuk, pasangan terbabit terkejut dan tidak menyangka dengan kehadiran penguat kuasa di kawasan penginapan mereka.

“Penguat kuasa JAINJ menahan pasangan di sebuah bilik studio kondominium mewah itu yang dikelilingi hotel mewah, pusat hiburan dan pusat beli-belah terkenal di sini,” menurut kenyataan tersebut.

Katanya, semasa pintu dibuka wanita terbabit berseluar pendek dan t-shirt manakala pasangannya sedang baring dan berselimut separuh badan, memakai seluar pendek dan t-shirt.

“Mereka terkejut dengan kehadiran penguat kuasa. Lelaki ini mempunyai isteri dan anak, warga Singapura keturunan Melayu. Wanita juga warga Singapura keturunan Melayu, berstatus janda tiada anak.

“Mereka menyewa bilik ini secara online sejak semalam dan pagi tadi mereka akan keluar bilik,” jelasnya.

Menurutnya, mereka memaklumkan hubungan sebagai rakan sekerja sebelum menjadi skandal.

“Dulu dia orang pernah kerja satu tempat. Banyak soalan mereka susah nak jawab kerana tidak menyangka mereka kena tangkap,” katanya.

Menurut JAINJ, pihaknya membuat kajian dan risikan selama lebih dua bulan berikutan dakwaan kondominium mewah ini dianggap selamat daripada pemeriksaan selepas hotel-hotel di sini sentiasa diperiksa penguat kuasa.

Jelasnya, kajian dilakukan pelbagai sudut termasuk memantau aplikasi berkenaan di internet sebelum serbuan dilakukan.

“Tempat ini mempunyai pengawal keselamatan dan kerahsiaan maklumat adalah penting kepada penguat kuasa.

“Beberapa kondominium disewa secara harian melalui aplikasi internet yang dibayar secara online. Penyewa terus datang dan masuk tanpa bertemu pemilik dan tiada kaunter seperti di hotel,” katanya.

Penguat kuasa JAINJ ujarnya, tiada masalah untuk membuat tangkapan di mana-mana tempat seperti kondominium mewah atau hotel berapa bintang sekalipun.

“Penguat kuasa JAINJ sedaya upaya memastikan tiada tempat selamat untuk pelaku maksiat di negeri ini dan akan mengambil tindakan kepada sesiapa saja. Masyarakat diminta untuk memberi aduan terus kepada JAINJ menerusi talian 07-207 6429 (butitan pengadu akan dirahsiakan),” katanya.

Pasangan warga Singapura itu ditangkap dan dibawa Pejabat Agama Islam Daerah Johor Bahru untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast