KUALA LUMPUR -Terdapat beberapa peruntukan dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas antara Amerika Syarikat dengan Malaysia (ART) yang melindungi kepentingan negara dan mempertahan serta memelihara kedaulatan Malaysia pada setiap masa.
Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan, antaranya pelaksanaan kewajipan dan komitmen di bawah ART adalah tertakluk kepada undang-undang dan tatacara domestik Malaysia yang terpakai.
Tegasnya, perkara itu jelas dinyatakan dalam Artikel 7.2 ART.
Menurut AGC, Artikel 7.2 juga memperuntukkan bahawa perjanjian tersebut hanya akan berkuatkuasa 60 hari selepas pihak-pihak bertukar pemberitahuan bertulis yang mengesahkan bahawa tatacara perundangan domestik berkaitan telah selesai dilaksanakan.
Selain itu, ART turut memperuntukkan antara lain, rundingan dengan suci hati antara Malaysia dengan Amerika Syarikat untuk isu berkaitan dengan pelaksanaan perjanjian tersebut sebelum mana-mana pihak boleh mengambil tindakan terhadap pihak yang satu lagi berdasarkan Artikel 7.4(2).
”Malaysia juga mempunyai hak untuk menamatkan perjanjian ini pada bila-bila masa melalui pemberitahuan bertulis kepada Amerika Syarikat tanpa perlu mendapatkan persetujuan Amerika Syarikat berdasarkan Artikel 7.5 ART.
“Semua perlindungan ini bertujuan untuk mempertahankan dan memelihara kedaulatan Malaysia serta melindungi kepentingan negara pada setiap masa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Walau apa pun katanya, Artikel 7.1 ART menyebut, Malaysia dan Amerika Syarikat sebagai Negara Ahli kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) akan terus mengiktiraf hak dan kewajipan masing-masing serta perlindungan yang diperuntukkan di bawah Perjanjian WTO yang menetapkan piawaian bagi perdagangan antarabangsa.
Pada 26 Oktober lalu Malaysia dan Amerika Syarikat telah menandatangani satu perjanjian yang memperuntukkan liberalisasi barangan, perkhidmatan dan pelaburan yang mengandungi tujuh seksyen dan empat lampiran.
Ia merupakan cadangan Amerika Syarikat bagi merunding semula tarif yang dikenakan ke atas Malaysia daripada 25 peratus di bawah Executive Order 14257 yang dikeluarkan Presiden Donald Trump pada 2 April 2025 kepada 19 peratus. -MalaysiaGazette
















