KUANTAN – Seorang wanita berusia 59 tahun menjadi mangsa penipuan phone scam sehingga mengalami kerugian sebanyak RM201,000.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai wakil syarikat insurans pada bulan Februari 2025 lalu.
Individu berkenaan telah mendakwa terdapat tuntutan insurans bernilai RM68,000 oleh mangsa.
“Panggilan kemudian disambungkan kepada beberapa individu yang mengaku sebagai pegawai polis dan Timbalan Pendakwa Raya yang mendakwa mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram.
“Mangsa diarahkan membuka akaun bank baharu dan memindahkan wang ke akaun yang diberikan kononnya untuk tujuan siasatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Antara 9 April hingga 12 Jun 2025, mangsa membuat 10 transaksi berjumlah RM201,000 sebelum menyedari dirinya telah ditipu dan membuat laporan polis.
Difahamkan sumber wang yang digunakan adalah daripada simpanan mangsa dan pinjaman peribadi bank.
Polis Pahang menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan yang meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihaknya atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan.
Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.
Orang awam yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan di talian 997. – MalaysiaGazette
















