Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seramai 49 individu terdiri daripada pegawai serta bekas pegawai beberapa institusi perbankan disyaki menerima rasuah daripada beberapa firma guaman akan didakwa secara berperingkat sepanjang November ini.

Menurut sumber, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mendapat izin mendakwa secara berperingkat individu-individu berkenaan dan kesemua pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor.

“Mereka dipercayai menerima komisen daripada beberapa firma guaman sebagai balasan melantik firma-firma tersebut menguruskan dokumen perjanjian pembiayaan pelanggan antara 2018 hingga 2023,” katanya.

Tambah sumber itu, kegiatan tersebut berjaya dibongkar menerusi Op Tiger yang dijalankan oleh SPRM pada Jun 2024, hasil risikan terhadap transaksi mencurigakan antara pegawai bank dan firma guaman terbabit.

“Siasatan mendapati bayaran komisen atau upah diberikan walaupun sebelum urusan pinjaman pelanggan diselesaikan,” ujarnya.

Kesemua individu berkenaan akan dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, melibatkan 249 pertuduhan keseluruhan dengan nilai rasuah dianggarkan hampir RM700,000.

SPRM dijangka membuat beberapa siri pertuduhan bermula minggu ini sehingga hujung bulan November bagi memastikan setiap individu terbabit dihadapkan ke mahkamah. – Malaysiagazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast