Cyrus V. Das (tiga dari kiri) berbual dengan wakil Semantan Estate selepas penghujahan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya berkaitan pertikaian tanah Duta Enclave. 6 NOVEMBER 2025.(GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Permohonan Semantan Estate (1952) Sdn. Bhd. (SESB) untuk kebenaran merayu dalam prosiding pertikaian hak milik tanah Duta Enclave seluas 263.272 ekar di Mukim Batu, akan ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 November ini.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama-sama Datuk Hanipah Farikullah dan Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali, menangguhkan keputusan minggu depan bagi membolehkan mahkamah meneliti penghujahan peguam pemohon dan responden.

Pada prosiding hari ini, peguam Datuk Dr. Cyrus V. Dass berhujah mewakili SESB dibantu peguam-peguam Ira Biswas, Alexie Ng Ying Ching dan K. Karu Ashwin manakala Datuk Malik Imtiaz Sarwar berhujah bagi pihak Amicus Curiae.

Sementara itu, Peguam-Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan berhujah bagi pihak kerajaan dibantu Ahmad Hanir Hambaly, Nurhafizza Azizan, Azza Azmi, Shazreen Nadia Zulkipli dan Peguam-Peguam Persekutuan Safiyyah Omar dan Nuur Zul Izzati Zulkipli.

Shamsul Bolhassan (empat dari kiri) bersama pasukannya selepas penghujahan kebenaran merayu Semantan Estate di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya berkaitan pertikaian tanah Duta Enclave. 6 NOVEMBER 2025.

SESB memohon kebenaran mahkamah tertinggi negara untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan tanah seluas 106.541 hektar, tidak dipindah milik kepada syarikat itu.

Pada sesi penghujahan, Cyrus antara lain berhujah, 26 persoalan undang-undang yang dibangkitkan SESB mengandungi isu yang belum pernah didengar dan diputuskan oleh mahkamah dalam kes-kes terdahulu.

Hujah beliau, Mahkamah Rayuan melalui keputusannya bukan sahaja telah meregularisasikan pengambilan tanah secara haram, malah melampaui bidang kuasanya apabila memerintahkan pampasan dibayar kepada SESB.

Ini kerana katanya, tiada mana-mana pihak yang memohon pampasan dan mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengubah perintah muktamad Mahkamah Tinggi yang telah disahkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Ira pula berhujah agar hartanah milik SESB yang telah diambil oleh kerajaan secara tidak sah, dikembalikan kepada anak guamnya.

Katanya, turut dituntut ialah pampasan bagi pengambilan tanah secara tidak sah dan pampasan bagi keuntungan yang diperoleh akibat penggunaaan tanah selama 70 tahun.

Sementara itu, Shamsul berhujah, kebenaran merayu yang dikemukakan oleh SESB tidak memenuhi `ambang’ (threshold) di bawah Seksyen 96(a) dan (b) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang mewajarkan permohonan tersebut dibenarkan.

Hujah beliau, persoalan undang-undang yang dibangkitkan, bukan berasal daripada fakta atau situasi luar biasa.

Shamsul selanjutnya berhujah, prinsip undang-undang berkaitan Seksyen 29(1)(b) Akta Prosiding Kerajaan 1956 iaitu perintah untuk memaksa serta isu pampasan di bawah Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan telah pun diselesaikan dengan jelas serta digunakan secara konsisten dalam kes-kes terdahulu.

“Oleh itu, tiada sebarang percanggahan kehakiman atau ketidakselarasan dalam keputusan terdahulu yang memerlukan penelitian lanjut oleh mahkamah ini.

“Kerajaan turut menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan adalah khusus bagi kes Semantan Estate, tidak menetapkan atau mengubah sebarang prinsip undang-undang umum,” hujah beliau.

Pada 24 Jun lalu, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Lee Swee Seng sebulat suara memerintahkan pampasan dibayar kepada SESB yang akan dinilai oleh Mahkamah Tinggi dalam tempoh 90 hari dengan bantuan pakar.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Azimah Omar dan Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh (kini Ketua Hakim Negara) memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, Ogos tahun lalu.

Ini bermakna, Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan tidak perlu mendaftarkan semula tanah itu kepada SESB selepas panel berkenaan mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkannya bertindak demikian.

Tanah yang dipertikaikan terletak di kawasan strategik Jalan Duta, dikenali sebagai Duta Enclave, yang menempatkan beberapa bangunan kerajaan, termasuk Stadium Hoki Nasional, Institut Integriti Malaysia, Arkib Negara, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri serta Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Pertikaian undang-undang SESB bermula pada 2003 apabila syarikat itu menyaman kerajaan dengan mendakwa tanah berkenaan diambil secara tidak sah.

Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya memutuskan bahawa kerajaan telah mengambil tanah tersebut secara tidak sah. Rayuan kerajaan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan selepas itu turut ditolak.

Pada Februari 2017, SESB memfailkan saman terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi menguatkuasakan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast