Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Kerajaan akan meneliti laporan agensi berita, Reuters yang mendakwa sebahagian hasil tahunan 2024 syarikat media sosial, Meta diperoleh daripada iklan yang mempromosikan penipuan dan barangan terlarang.

Jurucakap kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia bagi mendapatkan penjelasan penuh berhubung dakwaan agensi tersebut.

“Sekiranya benar, bermaksud angka yang dinyatakan oleh Reuters dalam laporan itu, lebih RM250 juta daripada jumlah itu adalah daripada iklan-iklan scam (penipuan), judi dalam talian dan macam-macam lain penipuan,” katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.

Menurut Fahmi, laporan berdasarkan dokumen dalaman Meta amat membimbangkan kerana ia memberi gambaran keuntungan syarikat terbabit datang daripada aktiviti haram yang melanggar undang-undang termasuk di Malaysia.

Tambahnya, beliau pernah menyatakan secara terbuka dan di Parlimen mengenai anggaran jumlah keuntungan yang diraih Meta dari Malaysia pada 2023, yang dipercayai berjumlah kira-kira RM2.5 bilion.

“Setakat ini kita tidak melihat apa-apa kenyataan yang memberangsangkan daripada pihak Meta malah cuma penafian bahawa angka-angka itu bukan dalam konteksnya yang sebenar… tapi ini tidak memadai,” katanya.

Menurut laporan Reuters, berdasarkan kepada laporan dalaman syarikat Meta, kira-kira 10 peratus pendapatan tahunan syarikat itu melalui iklan berbentuk scam, penipuan dan barangan yang diharamkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast