Jabatan Peguam Negara

PUTRAJAYA –  Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan Pemberian Khas 40 peratus hasil kepada Sabah seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Jabatan Peguam Negara (AGC), keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Khas Jemaah Menteri diadakan hari ini bagi membincangkan penghakiman mahkamah berhubung semakan kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society terhadap Kerajaan Malaysia.

“Kerajaan Persekutuan menghormati prinsip Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil sebagaimana yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, kerajaan memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan tersebut dan akan memulakan proses rundingan bersama Kerajaan Negeri Sabah dengan kadar segera,” katanya dalam kenyataan. 

Sementara itu, AGC berkata, Kerajaan Persekutuan akan mengemukakan rayuan berhubung kecacatan dalam Alasan Penghakiman Mahkamah Tinggi yang antara lain mendakwa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah menyalahgunakan kuasa serta melanggar kewajipan perlembagaan sejak tahun 1974.

“Alasan penghakiman juga menyatakan bahawa Kajian Semula selepas tahun 2021 adalah menyalahi undang-undang, tidak rasional, tidak teratur dari segi prosedur dan tidak berkadaran,” tambah kenyataan itu.

Menurut AGC, pandangan serta nasihat undang-undang telah diberikan kepada Jemaah Menteri berhubung perkara berkenaan bagi memastikan sebarang tindakan lanjut berpaksikan kepada prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast