KUALA LUMPUR – Malaysia berdepan kehilangan hasil eksport hampir RM7 bilion sekiranya kerja-kerja penanaman semula pokok kelapa sawit yang berusia lebih 25 tahun tidak dilaksanakan segera di lebih 520,000 hektar ladang sawit.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kadar penanaman semula negara pada tahun lalu hanya kira-kira dua peratus, jauh daripada sasaran ideal empat hingga lima peratus setahun yang diperlukan bagi mengekalkan daya saing sektor itu.
“Jika kita tidak menanam semula pokok sawit berusia lebih 25 tahun di kawasan seluas 520,000 hektar ini, potensi kehilangan hasil eksport boleh mencecah hampir RM7 bilion.
“Disebabkan sawit merupakan penyumbang terbesar sektor pertanian, penanaman semula perlu berterusan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN–Maran) mengenai usaha kementerian menangani kadar penanaman semula sawit yang rendah akibat kos tinggi yang membebankan pekebun kecil.
Malaysia merupakan pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia selepas Indonesia, bergantung kepada komoditi itu bukan sahaja untuk pendapatan eksport berbilion ringgit, tetapi juga bagi memenuhi keperluan pelbagai industri daripada minyak masak, roti, biskut, kek, kosmetik, sabun hinggalah biodiesel.
Menurut Johari, cabaran utama kekurangan penanaman semula berpunca daripada kemampuan kewangan pekebun kecil manakala peruntukan kerajaan pula semakin berkurang.
“Contohnya pada 2024 kerajaan menyediakan kira-kira RM100 juta, manakala pada 2025 hanya RM50 juta. Daripada jumlah itu, 50 peratus diberikan sebagai geran dan selebihnya pinjaman.
“Kerajaan turut menanggung sebahagian faedah pinjaman di bawah Program Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0 (TSPKS 2.0). Namun kos penanaman semula terus meningkat, menyebabkan kementerian sedang merangka skim baharu untuk menambah bantuan kewangan tahun depan,” ujarnya.
Johari berkata, kementeriannya telah memohon RM1.4 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 bagi menyokong industri sawit, namun kerajaan tidak mempunyai dana mencukupi.
“Jika permohonan RM1.4 bilion itu diluluskan, secara purata kita boleh dapat RM280 juta setahun tetapi kita hanya menerima RM100 juta. Jadi ada kekurangan besar.
“Sebab itu saya telah berjumpa pihak bank untuk melihat sama ada mereka boleh membantu pekebun kecil dengan membenarkan ladang digunakan sebagai cagaran. Saya juga akan mohon kerajaan beri subsidi faedah pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata, kadar penanaman semula dalam kalangan pekebun kecil tersusun pada 2024 hanya satu peratus, manakala pekebun kecil bebas 1.7 peratus jauh lebih rendah berbanding 2.5 hingga 3 peratus dalam kalangan syarikat perladangan besar.
“Terdapat beberapa isu. Pertama, ketika harga sawit tinggi, ramai pekebun kecil tidak mahu menanam semula kerana bimbang kehilangan pendapatan sepanjang tempoh pokok baharu belum menghasilkan buah.
“Kedua, ketika harga tinggi mereka menikmati jualan yang baik tetapi tidak menyimpan sebahagian hasil sebagai dana penanaman semula.
“Apabila harga mula menurun dan tiba masa untuk menanam semula, mereka tidak lagi mempunyai modal. Ini antara faktor utama kenapa terdapat 520,000 hektar pokok tua di seluruh negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















