KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor mengumumkan rombakan dan pelantikan beberapa jawatan utama dalam Badan Pimpinan Negeri (BPN) sebagai langkah memperkukuh organisasi serta memperhebat peranan parti di negeri itu.
Ketua BPN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan itu dibuat selaras dengan Fasal 16.5 Perlembagaan dan mengambil kira keperluan memperkasa jentera parti serta meningkatkan penyertaan rakyat terhadap agenda perjuangan parti.
Beliau berkata, persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) yang sedang berlangsung turut membuktikan bahawa rakyat mengharapkan Bersatu terus memainkan peranan sebagai suara yang menjuarai isu dan kepentingan masyarakat.
Antara pelantikan baharu yang diumumkan ialah Ahli Dewan Negeri (ADUB) Kuala Langat, Rosnizan Ahmad sebagai Setiausaha BPN Selangor; Ketua Bahagian Kapar, Jumiah Jonet sebagai Bendahari dan ADUN Kota Raja, Wan Dzahanurin Ahmad sebagai Ketua Penerangan negeri.
Dalam usaha memperkukuh agenda penerangan dan komunikasi, Bersatu turut melantik ADUN Hulu Kelang, Datuk Noorazley Yahya sebagai Pengarah Komunikasi & Strategi Media Baharu negeri.
“BPN Selangor yakin barisan kepimpinan baharu ini akan membawa semangat segar dalam memperkukuh jentera parti, memperhebatkan usaha mendekati rakyat dan memperkasa mesej perjuangan Bersatu serta Perikatan Nasional ,” katanya dalam kenyataan hari ini. – MalaysiaGazette
















