SHAH ALAM – Polis memperoleh perintah sambung reman 14 hari terhadap seorang pengawal keselamatan warga Nepal yang sebelum ini ditahan kerana disyaki meliwat seekor kucing di Kota Kemuning, di sini, dengan siasatan kini turut memberi tumpuan kepada kesalahan imigresen.
Pemangku Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Embol berkata, perintah itu dibuat selepas polis mendapati lelaki berusia 33 tahun itu tidak memiliki permit kerja walaupun pasportnya masih sah.
“Siasatan mendapati suspek tinggal di Malaysia sejak enam tahun lalu dan bekerja di pangsapuri terbabit sejak dua bulan lepas.
“Dia masih bujang, tidak mempunyai permit kerja, namun pasportnya sah,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Kes itu tular selepas polis menerima laporan daripada seorang penghuni pada awal pagi Sabtu lalu, sebelum video kejadian turut dirakam pengadu.
Lelaki berkenaan dipercayai meliwat seekor kucing dalam keadaan bogel di aras empat sebelum mencampakkan haiwan itu ketika ditegur suami pengadu.
Suspek ditahan pada jam 4.45 pagi hari sama sebelum polis mendapatkan perintah reman pertama bermula 15 November sehingga hari ini.
Ramsay berkata, siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod masalah mental tetapi berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 377 Kanun Keseksaan kerana persetubuhan luar tabii dengan haiwan dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana membunuh atau mencederakan haiwan.
Dalam pada masa sama, siasatan berkaitan kesalahan imigresen dijalankan serentak di bawah Akta Imigresen 1959/1963. -MalaysiaGazette
















