BUKIT MERTAJAM – Dua lelaki terkorban selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka terbabit dalam nahas jalan raya dengan sebuah lori membawa muatan buah di Kilometer 141.5 Lebuh Raya Utara Selatan, berhampiran Rehat dan Rawat (R&R) Juru di sini, malam tadi.
Mangsa, Muhammad Fakhrur Razi Usri, 31, yang memandu Toyota Estima serta penumpangnya, Mohamad Nizar Abdul Rahman, 32, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit pada bahagian hadapan kenderaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, panggilan kecemasan diterima pada jam 11.22 malam dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai bergegas ke lokasi.

“Kemalangan itu membabitkan Toyota Estima dinaiki dua mangsa serta sebuah lori dipandu lelaki berusia 37 tahun yang tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pasukan kami menjalankan kerja menyelamat menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dan kedua-duanya berjaya dikeluarkan pada jam 11.56 malam.
“Mereka kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenayatan hari ini.
Tambah beliau, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.40 tengah malam.
Mayat dihantar ke Hopsital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat. – MalaysiaGazette
















