KUALA LUMPUR – Jurugambar jalanan sanggup menyamar sebagai pelancong dan sorokkan peralatan kamera di celah pokok hiasan bagi mengelak dicekup selepas kegiatan mereka dikesan penguat kuasa di sekitar KLCC dan Pintasan Saloma, malam tadi.
Dalam operasi bersepadu KL Strike Force yang bermula jam 8.30 malam itu beberapa individu terkejut dan bertindak melarikan diri daripada ditahan selepas menyedari kehadiran penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, kegiatan jurugambar jalanan ini bergerak secara solo bersama peralatan mereka sebelum mendekati pelancong dengan menawarkan setiap gambar pada harga RM5 untuk warga tempatan hingga RM10 warga asing.
Difahamkan, mereka boleh mengaut keuntungan mencecah ratusan ringgit sehari, malah mampu memperoleh pendapatan lebih tinggi pada malam minggu apabila kawasan tersebut dipenuhi pelancong.
Bagaimanapun, rata-rata pengunjung tidak selesa dengan kehadiran jurugambar jalanan itu dan ia mencacatkan imej KLCC sebaga ikonik negara.
Mereka menggesa penguat kuasaan perlu dilakukan lebih konsisten bagi mengekang kegiatan tersebut.

Menurut Jurucakap DBKL , operasi dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah menahan seramai 22 individu kerana menjalankan pekhidmatan photografi tanpa lesen di sekitar kawasan itu.
“Daripada jumlah tersebut, 15 orang dikompaun di kawasan perkarangan Suria KLCC manakala tujuh lagi individu di Pintasan Saloma.
“Kesemua peralatan milik mereka turut disita pihak DBKL dan pemilik boleh menuntut semula sebaik sahaja kompoun dijelaskan.
“Sementara hasil pemeriksaan JPN mendapati, kesemua individu yang diperiksan adalah warga tempatan dan memiliki kad pengenalan diri yang sah dan tulen,” katanya di lokasi operasi, malam tadi.

Jelasnya, tindakan dijalankan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 3(1) Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016 yang memperuntukkan kompaun maksimum RM2,000 kepada pesalah berkenaan.
Pada masa sama, pemantauan secara berkala dan rondaan akan terus dipergiatkan, khususnya pada waktu malam di kawasan berkenaan bagi memastikan aktiviti perniagaan dijalankan mengikut peraturan yang ditetapkan. – MalaysiaGazette
















