PUTRAJAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) menyumbangkan dua unit ambulans 4×4 kepada Bulan Sabit Merah Malaysia
(BSMM) bagi meningkatkan keupayaan operasi kecemasan dan bantuan kemanusiaan di seluruh negara khususnya di kawasan berisiko tinggi dan sukar diakses.
Sumbangan tersebut dibuat menerusi zakat wakalah TH bernilai RM570,000.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, ia membuktikan komitmen berterusan TH dalam menyokong usaha kemanusiaan dan kesiapsiagaan bencana, selari dengan peranannya dalam menjaga kebajikan ummah.
“Dengan penyerahan ambulans 4×4 ini, kami berharap lebih ramai mangsa dapat dibantu dengan lebih cepat dan berkesan, khususnya di kawasan yang sebelum ini sukar dicapai.
“TH percaya penambahan aset ini akan mengukuhkan jaringan bantuan antara TH, BSMM dan agensi penyelamat lain, sekaligus memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya menerusi kenyataan.
Ujarnya, ambulans yang disumbangkan akan memperkukuh kemampuan BSMM untuk menembusi kawasan pedalaman, laluan berbukit, lokasi banjir serta situasi bencana yang tidak boleh dimasuki ambulans biasa.
“Keupayaan ini membolehkan pasukan perubatan BSMM memberikan rawatan awal dengan lebih pantas, terutama pada masa yang kritikal untuk menyelamatkan nyawa,” katanya lagi.
Ambulans tersebut dilengkapi peralatan perubatan penting seperti alat resusitasi, oksigen, Defibrilator Luaran Autamatik (Automated External Defibrillator) dan kit trauma, ambulans ini berfungsi sebagai ruang rawatan bergerak yang mampu mengendalikan pelbagai kecemasan sebelum mangsa dipindahkan ke hospital.
Ia juga menyokong operasi besar seperti banjir, tanah runtuh, misi mencari dan menyelamat serta bantuan komuniti luar bandar.
Sementara itu, Setiausaha Agung BSMM, Datuk Danial Iskandar Abdul Rahman menzahirkan penghargaan atas sumbangan TH.
“Ambulan 4×4 ini memberi kami fleksibiliti dan keupayaan bergerak yang lebih baik, sekali gus memastikan mangsa menerima rawatan segera dan selamat.
“Kami amat menghargai sokongan TH terhadap usaha kemanusiaan yang menjadi teras perjuangan BSMM,” katanya. -MalaysiaGazette
















