KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin, membangkitkan kebimbangan mengenai ketergesaan kerajaan memeterai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia- Amerika Syarikat (AS) yang berpotensi menjejaskan kedaulatan dan kepentingan strategik negara.
Beliau berkata, walaupun dakwaan pembangkang bahawa ART menggadai kedaulatan negara adalah melampau dan tidak berasas, isu sebenar terletak pada cara dan tempoh perjanjian dimuktamadkan.
“Walaupun saya menolak naratif yang melampau dan tidak berasas itu, saya perlu tegaskan bahawa rasa terdesak dan tergesa-gesa dalam urusan diplomatik dan perdagangan sebenarnya boleh merosakkan kedaulatan kita,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika berbahas mengenai Rang Undang-undang Perbekalan 2026 di peringkat jawatankuasa pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Zhemin menegur pembangkang kerana menghabiskan masa dengan retorik politik yang tidak produktif, sebaliknya menekankan perlunya kerajaan menjalankan proses yang lebih teliti dan berhati-hati.
“Rakan-rakan saya di sebelah pembangkang telah menghabiskan masa berharga dewan ini dengan retorik yang tidak produktif, mendakwa ART menggadai ‘kedaulatan negara’ secara total,” ujarnya.
Beliau turut menimbulkan persoalan mengenai tarikh pemeteraian ART pada 26 Oktober lalu sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan mempersoalkan keperluan kerajaan bertindak tergesa-gesa.
“Saya nak tanya kepada Menteri, kritikan saya terhadap proses dan masa perjanjian ini dimeterai.
“Mengapa perlunya perjanjian ini ditandatangani dengan tergesa-gesa, seolah-olah ia adalah agenda yang perlu ‘diselesaikan’ sebelum perhimpunan serantau itu?” soalnya.
Zhemin turut menekankan aspek rundingan dengan Amerika Syarikat dan tempoh masa yang diberikan sebelum Sidang Kemuncak ASEAN.
“Apakah tarikh yang diberikan oleh Amerika Syarikat, adakah sebelum atau selepas Sidang Kemuncak ASEAN, kalau sebelum, mengapa kita tidak ambil masa untuk runding lebih lama,” katanya.
Beliau berkata, urusan diplomatik yang menyentuh kepentingan negara tidak boleh dibuat secara terburu-buru kerana ia memberi implikasi jangka panjang.
Katanya, sebarang kelemahan dalam proses sebegini berisiko menjejaskan kedudukan Malaysia di arena antarabangsa.
Zhemin menekankan bahawa perjanjian strategik seperti ART memerlukan penelitian menyeluruh, termasuk libat urus yang telus dan mendalam sebelum ia dimuktamadkan.
“Perjanjian strategik seperti ART memerlukan penelitian menyeluruh serta libat urus yang lebih telus sebelum ia dimuktamadkan bagi memastikan tiada aspek yang memudaratkan kepentingan negara atau membuka ruang eksploitasi oleh pihak luar,” katanya.
Beliau menyeru kerajaan agar memperkukuhkan proses dalaman sebelum menandatangani sebarang perjanjian antarabangsa, bagi memastikan kepentingan Malaysia sentiasa terpelihara. – MalaysiaGazette
















