KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan dibuat Datuk Seri Rafizi Ramli yang mengatakan suruhanjaya itu digunakan untuk menyiasat calon-calon yang bertanding dalam pemilihan PKR.
SPRM menegaskan, tuduhan yang dibuat bekas Timbalan Presiden PKR itu tidak berasas dan tidak benar.
“SPRM menegaskan bahawa siasatan hanya dijalankan berdasarkan aduan atau maklumat yang diterima. Setiap aduan yang mempunyai asas akan melalui proses pengesahan dan siasatan mengikut undang-undang serta prosedur yang ditetapkan,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan malam ini.
Tambahnya, tuduhan Rafizi yang mengatakan SPRM ‘mengepung rumah’ individu tertentu juga adalah tidak tepat.
Menurut SPRM, dalam kes tersebut, pegawai penyiasat hadir ke kediaman berkenaan bagi tujuan bertemu serta melaksanakan penggeledahan bagi mendapatkan bahan bukti.
Ia merupakan satu kaedah siasatan yang biasa termasuk elemen kejutan untuk mengelakkan risiko pelupusan bukti. Selepas pengesahan bahawa individu tersebut tiada di rumah ketika itu, pegawai telah beredar seperti biasa.
Pada keesokan hari, individu berkenaan telah hadir sendiri ke pejabat SPRM, rakaman percakapannya diambil dan beliau dibebaskan tanpa penahanan. Semua tindakan adalah selaras dengan keperluan dan tatacara siasatan.
SPRM juga menekankan bahawa mana-mana pihak yang tidak berpuas hati boleh mengemukakan aduan melalui saluran rasmi yang tersedia, seperti polis atau Jawatankuasa Aduan (JKA) SPRM.
Ini adalah mekanisme yang sah dan telus untuk menilai sebarang dakwaan salah laku.
Sehubungan itu, SPRM juga menyeru semua pihak agar tidak membuat tohmahan tidak berasas secara terbuka di media sosial tanpa bukti kerana ia boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi penguatkuasaan negara.
Terdahulu media melaporkan, Ahli Parlimen Pandan itu dalam audio siar terbaharunya mendakwa, beberapa anggota PKR terbabit telah menjadi sasaran siasatan SPRM selepas dilihat tidak lagi digemari sesetengah pemimpin parti.
Menurut Rafizi, perkara sama turut berlaku terhadap ahli-ahli parti yang bertanding menentang Nurul Izzah Anwar dalam merebut jawatan timbalan presiden parti tersebut. -MalaysiaGazette
















