Seorang lelaki dan anaknya maut dalam kebakaran di rumahnya di Lorong Haji Sulaiman, Sungai Abong, Muar, semalam.

MUAR – Seorang lelaki warga emas dan anaknya yang terlantar maut dalam kebakaran di rumahnya di Lorong Haji Sulaiman, Sungai Abong di sini semalam.

Kebakaran tersebut mengorbankan Borhan Paiman, 75, dan anaknya, Muhammad Naim Borhan, 30.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kejadian tersebut dilaporkan pada pukul 2.35 petang susulan maklumat diterima dari unit ambulans Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini.

“Siasatan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah banglo dua tingkat. Pemeriksaan menjumpai mangsa pertama iaitu seorang lelaki yang merupakan pesakit terlantar akibat kemalangan jalan raya sebelum ini.

“Mangsa ditemui meninggal dunia di lokasi kejadian dengan kesan terbakar pada tubuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa kedua merupakan bapa kepada lelaki tersebut dan disahkan meninggal dunia di hospital selepas mengalami sesak nafas ketika cuba memadamkan api.

Jelasnya, siasatan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan punca kebakaran tersebut.

Mayat kedua-dua mangsa katanya, dihantar ke Unit Forensik HPSF untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca kematian dan kes diklasifisasikan sebagai mati mengejut.

Beliau menambah, sebarang maklumat berkenaan kejadian tersebut boleh disalurkan kepada mana-mana balai polis berdekatan atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Komisioner Suhaimi Ahmad 013-3975290.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Penguasa Bomba Kanan I Mohd Fettry Mahat berkata, 14 anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), dua Unit Bermotor Bomba (RIM) dan satu utiliti dikejarkan ke tempat kejadian.

“Kebakaran tersebut telah dipadamkan orang awam sebelum pihak bomba tiba ke lokasi. Seorang mangsa iaitu lelaki dewasa didapati meninggal dunia di atas katil dalam bilik akibat terbakar 80 peratus.

“Mayat diserahkan kepada pihak polis dan kebakaran dapat dikawal dan operasi tamat pukul 5 petang,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast