GEORGE TOWN – Seorang anggota Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut mengalami kecederaan selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan dua buah kereta di Jalan Scotland di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi ketika anggota berusia 35 tahun itu sedang bertugas menunggang motosikal di lokasi berkenaan.
Menurut beliau, kenderaan lain yang terlibat ialah sebuah Proton Iriz dipandu seorang lelaki tempatan berumur 20 tahun dan sebuah Perodua Axia yang dipandu seorang wanita berumur 86 tahun.
“Hasil siasatan mendapati ketika kereta Iriz itu bergerak dari arah Paya Terubong menuju Persiaran Gurney melalui Jalan Scotland, tiba-tiba, kereta Axia di hadapan membrek secara mengejut, menyebabkan pemandu Iriz juga membrek dan mengelak ke kiri.
“Pada masa sama, motosikal anggota polis yang berada di sebelah kiri tidak sempat mengelak dan terlanggar kedua-dua kereta tersebut,” katanya kepada pemberita hari ini.
Jelas beliau, akibat pelanggaran itu, anggota berkenaan mengalami kecederaan pada tangan dan kaki.
“Anggota tersebut telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil manakala, pemandu Iriz dan Axia tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette
















