Peguam yang mewakili Albert Tei, Mahajoth Singh bercakap kepada wartawan ketika menunggu permohonan reman terhadap seorang ahli perniagaan Albert Tei dan Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin di Mahkamah Majistret Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 29 NOVEMBER 2025 (GAMBAR FAIL)

SEPANG – Peguam, Rajesh Nagarajan mengecam tindakan polis yang didakwa menghubungi Mahajoth Singh untuk memberi keterangan kes yang membabitkan ahli perniagaan, Albert Tei.

Mahajoth Singh merupakan peguam yang mewakili Albert.

Rajesh yang menemani Mahajoth Singh di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang berkata, tindakan tersebut melanggar prinsip keistimewaan komunikasi antara peguam dan anak guam yang dilindungi undang-undang.

Mahajoth diminta memberi keterangan berhubung siasatan laporan yang dibuat oleh isteri ahli perniagaan itu dalam operasi pihak berkuasa baru-baru ini.

Menurut Rajesh, tindakan menghubungi peguam bagi mendapatkan kenyataan tidak boleh diterima dan bercanggah dengan Seksyen 126 Akta Keterangan yang memperuntukkan komunikasi antara peguam dan anak guam adalah dilindungi oleh keistimewaan guaman.

“Bagaimana polis berani menelefon seorang peguam untuk memberikan kenyataan?

“Ini benar-benar tidak boleh diterima. Undang-undang jelas menyatakan komunikasi antara peguam dan klien dilindungi dan tidak boleh didedahkan,” ujarnya.

Rajesh mendakwa, dengan meminta peguam memberi kenyataan, polis seolah-olah memaksa peguam melanggar kepercayaan serta keistimewaan guaman yang dijamin oleh undang-undang.

Sehubungan itu, beliau telah menghubungi Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mendesak agar amalan menghubungi peguam untuk mendapatkan kenyataan dihentikan serta-merta.

Menurut Rajesh, perkara itu telah dimaklumkan kepada Majlis Peguam Malaysia untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Mahajoth berkata, beliau menerima notis di bawah Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah pada pukul 12.30 tengah hari semalam menerusi aplikasi WhatsApp yang meminta hadir ke balai polis kerana peranannya sebagai peguam semasa insiden 28 November lalu.

Beliau berkata, amalan sedemikian boleh membawa kepada kegagalan sistem secara menyeluruh sekiranya ia dibenarkan berterusan.

Mahajoth berharap Majlis Peguam Malaysia akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu.

Sebelum ini, PDRM mengesahkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang menerima satu laporan daripada seorang wanita, yang merupakan isteri Albert, mengenai operasi penguatkuasaan yang dijalankan di sebuah kediaman di Selangor.

Operasi tersebut dilaporkan berlaku pada 28 November lalu melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang kemudian menafikan dakwaan berlaku salah laku ketika serbuan dilakukan.

Sebaliknya Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memberitahu, tindakan pegawainya dalam operasi berkenaan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast