KUALA LUMPUR – Peguam Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mempersoalkan keadilan perbicaraan kes 1MDB apabila saksi utama, Roger Ng Chong Hwa, didakwa memberi maklumat penting kepada pihak berkuasa di luar mahkamah.
Namun Roger enggan mendedahkannya di hadapan hakim, sekaligus menjejaskan hak pembelaan bekas Perdana Menteri itu.
Menurut Shafee, Roger dibawa pulang ke Malaysia pada Oktober 2023 selepas disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun di Amerika Syarikat (AS) kononnya membantu siasatan pihak berkuasa Malaysia serta menghadapi pertuduhan berkaitan peranannya dalam skandal 1MDB.
Bagaimanapun, katanya, kes terhadap Roger di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) sejak Januari 2023 dan sehingga kini tiada sebarang pendakwaan baharu difailkan.
Manakala beberapa kes lain yang berpotensi juga kelihatan tidak diteruskan secara aktif.
“Sebaliknya, Roger kini ditempatkan di bawah Program Perlindungan Saksi,” katanya kepada media di lobi Kompleks Mahkamah Jalan Duta hari ini.
Shafee berkata, dalam kenyataan media Jabatan Peguam Negara (AGC) bertarikh 12 Disember lepas sejak Roger dikembalikan ke Malaysia pada 2023, terdapat maklumat baharu yang diperoleh berkaitan prosiding dana 1MDB.

Katanya, itu secara jelas menunjukkan Roger telah bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia dan memberikan maklumat material di luar prosiding mahkamah.
Dalam perbicaraan 1MDB, Shafee berkata, pihak pembelaan telah memanggil Roger sebagai saksi pembelaan.
Namun beliau enggan menjawab beberapa soalan dengan alasan terikat kepada Perintah Perlindungan Mahkamah AS bagi Daerah Timur New York walaupun Mahkamah Malaysia telah menyatakan ia tidak terikat dengan perintah mahkamah asing.
“Saksi tersebut tetap enggan menjawab soalan-soalan yang mempunyai kaitan langsung dengan pembelaan,” tegasnya.
Menurut Shafee, Roger juga mengesahkan di bawah sumpah selepas kembali ke Malaysia pada 2023, beliau telah memberikan kenyataan panjang lebar selama beberapa hari kepada pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial.
“Percanggahan utama timbul apabila Roger boleh memberi maklumat terperinci kepada penyiasat, tetapi mendakwa tidak boleh memberikan keterangan yang sama di mahkamah terbuka,” katanya.
Katanya lagi, sepanjang keterangannya di mahkamah, Roger tidak mengaitkan Najib dengan sebarang konspirasi berkaitan 1MDB, malah secara jelas menafikan penglibatan anak guamnya dalam penipuan berkenaan.
Tambah beliau, perkara itu penting memandangkan Roger bekerja rapat dengan Tim Leissner dan Goldman Sachs, yang dikenalpasti sebagai arkitek kewangan utama urus niaga 1MDB bersama Low Teck Jho atau Jho Low.
“Maklumat yang bersifat membebaskan terhadap Najib telah diberikan kepada pihak berkuasa penyiasatan, namun tidak dibenarkan untuk diuji dan dinilai sebagai bukti dalam perbicaraan.
“Situasi ini menjejaskan hak pembelaan dan menimbulkan persoalan serius terhadap keadilan, ketelusan serta integriti proses perbicaraan dalam kes 1MDB,” ujarnya.
Kata Shafee lagi, keseluruhan keadaan ini menunjukkan Najib tidak diberikan perbicaraan yang adil sebagaimana dijamin di bawah Perkara 5 dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. -MalaysiaGazette
















