ACEH – Wabak penyakit seperti batuk, selesema, cirit-birit, demam dan sakit kerongkong mula dikesan khemah-khemah perlindungan mangsa banjir di Aceh kerana persekitaran kotor dan ketiadaan air bersih selepas banjir besar 26 November lalu.
Pengarah Hospital Cut Mutiar, Dr Syarifah Rohaya berkata, lebih 500 mangsa banjir terpaksa dimasukkan ke wad hospital berkenaan setiap hari sejak seminggu lalu.
“Ini bagi mendapatkan rawatan rapi dan pemerhatian manakala beribu-ribu pesakit diberikan rawatan di pusat penempatan sementara dan khemah-khemah perlindungan di lokasi yang terjejas banjir.
“Wabak penyakit termasuk penyakit berjangkit dan penyakit dalaman dikesan mula menular di lokasi bencana dan merebak dengan cepat,” katanya ketika ditemui selepas mengagihkan ubat kepada mangsa banjir di Desa Geudumbak, Aceh Utara dekat sini, semalam.
Banjir dahsyat tersebut melanda tiga wilayah di Sumatera terutama di provinsi Aceh sejak 26 November lalu serta mengakibatkan kemusnahan teruk termasuk ratusan rumah hanyut termasuk harta benda dan ternakan terkorban.
Hospital Cut Mutiar adalah hospital kerajaan utama milik kerajaan Indonesia di Kota Lhokseumawe yang mempunyai kemudahan rawatan dan doktor pakar dalam pelbagai bidang perubatan utama.
Mengulas lanjut, Dr Syarifah berkata, penyebaran pelbagai penyakit itu berpunca daripada keadaan persekitaran yang kotor dan kesesakan penghuni di pusat penempatan sementara.
Jelasnya, banjir bandang dan tanah runtuh di provinsi Aceh, kini memasuki episod baru apabila beribu-ribu kes penyakit termasuk penyakit berjangkit dikesan mula menular di lokasi bencana.
“Setiap hari pasukan kami (perubatan dan kesihatan) meninjau di kawasan-kawasan yang terkesan banjir termasuk di kawasan terpencil dengan membawa bersama peralatan dan ubat-ubatan.
“Tim kami terdiri daripada doktor dan pakar perubatan dalam pelbagai bidang termasuk kardiologi, mata, penyakit dalaman, paediatrik dan sakit puan. Mereka dibantu oleh tim sokongan termasuk jururawat,” katanya.
Dr Syarifah Rohaya berkata, pasukan perubatan dan kesihatan dari Hospital Cut Mutiar terpaksa menempuh pelbagai kesulitan dan rintangan ketika mengunjungi kawasan terjejas banjir dan tanah runtuh termasuk terpaksa menaiki rakit buluh untuk masuk ke kawasan terpencil berikutan kebanyakan jalan perhubungan telah terputus atau rosak teruk.
“Kami bertugas 24 jam, tujuh hari seminggu untuk memberikan rawatan kepada penduduk yang memerlukannya dan segera merujukkan pesakit ke wad hospital untuk pemerhatian rapi jika terdapt gejala penyakit yang serius,” katanya.
Beliau menasihat penduduk terutama penghuni pusat penempatan sementara supaya sentiasa mengutamakan kebersihan dan segera mendapatkan rawatan awal sekiranya menghidap sebarang penyakit.
Sementara itu, tim berkenaan turut bertembung dengan peserta Misi Kemanusiaan Sumatera 2025 dari Malaysia yang menyampaikan pelbagai bantuan kepada mangsa banjir di sini.
Pengurus Besar Pasar Raya Econsave, Mas Imran Adam berkata, ubat-ubatan amat diperlukan di khemah-khemah mangsa banjir kerana amat mudah terdedah dengan pelbagai penyakit paska banjir.
“Kita turut menyumbangkan ubat-ubatan peserta misi kepada mangsa banjir seperti ubat deman dan batuk kerana bekalan sedia ada tidak mencukupi,” ujarnya.
Menurut penduduk setempat, mereka mengidap penyakit selepas terpaksa minum air dari lopak air dan sumber air kotor kerana tiada bekalan air bersih untuk beberapa hari selepas banjir.
Misi tersebut dianjurkan MyCare dan Pasaraya Econsave yang bermula 18 hingga 23 Disember ini dalam usaha memberi bantuan kepada mangsa banjir terutama di Sumatera dan Aceh.
Bagi yang ingin menghulurkan sumbangan boleh melalui MyCare menerusi CIMB bank Berhad 8602135592.- MalaysiaGazette
















