Mohd Shahzihan Ahmad

KUALA LUMPUR -Dakwaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sukar mengambil tindakan undang-undang terhadap Ajaran Qadiani kerana dinaungi oleh orang-orang atasan yang ada hubungan dengan pihak istana adalah tidak benar sama sekali.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad menyifatkan kenyataan penceramah tidak bertanggungjawab dan menghina Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam di Selangor dan ketegasan baginda dalam mengekang serta membanteras sebarang penyelewengan akidah dan ajaran sesat.

“Kesukaran tindakan terhadap Qadiani berlaku kerana ia telah difatwa terkeluar daripada agama Islam pada 24 September 1998 dan 17 Ogos 2000. Keputusan fatwa ini telah memberi kesan kepada bidang kuasa penguat kuasa agama JAIS yang hanya boleh menguatkuasakan undang-undang jenayah syariah kepada orang Islam sahaja sebagaimana dinyatakan di bawah Subseksyen 1(2) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

“JAIS juga tidak pernah menerima sebarang aduan atau maklumat tentang adanya individu tertentu yang ada kaitan rapat dengan istana yang menjadi dalang kepada wujud dan bertapaknya Ajaran Qadiani di Selangor,” katanya.

Sebelum itu, JAIS merujuk kepada satu rakaman video ceramah yang dimuat naik melalui platform TikTok oleh pengguna Remy Lepat Liat (@disebaliktiraimimpi) pada 8 Disember 2025 berhubung ajaran sesat di Selangor serta mengaitkannya dengan pihak-pihak tertentu termasuk institusi istana.

JAIS telah menjalankan semakan awal dan mendapati individu yang menyampaikan ceramah berkenaan merupakan penceramah yang memiliki tauliah mengajar agama Islam di Selangor dan dipercayai telah disampaikan di Masjid Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor.

Sehubungan itu, Setiausaha Jawatankuasa Tauliah, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan meneliti fakta ini sama ada ia suatu kenyataan yang berlawanan dengan ketetapan Peraturan-Peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024 atau sebaliknya.

JAIS menegaskan, usaha membanteras ajaran sesat di Selangor dilaksanakan secara berterusan berlandaskan peruntukan undang-undang dan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dengan mengambil kira fakta, saksi dan keterangan atau bukti-bukti yang diterima oleh undang-undang.

JAIS mengingatkan semua pendakwah dan penceramah atau mana-mana orang agar menyampaikan fakta secara tepat dengan membuat penelitian mendalam, beradab dan bertanggungjawab.

Golongan tersebut juga diingatkan tidak menimbulkan keresahan awam terutama apabila ianya berkaitan dengan kedudukan institusi istana dan Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri Selangor.

“Sebarang maklumat berkaitan ajaran sesat hendaklah dirujuk kepada pihak berkuasa agama negeri bagi mengelakkan kekeliruan dan fitnah dalam masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast