BATU KAWAN – Stadium Batu Kawan menjadi tumpuan peminat kereta dan motosikal dari seluruh negara apabila sebuah festival permotoran berskala besar membuka tirainya di sini hari ini, sekali gus menyediakan platform kepada belia mengetengahkan minat dan bakat dalam dunia automotif.
Malaysia Modifighter Festival (MMF) 2026 anjuran Choii Motorsport itu dijangka menarik sehingga 400,000 pengunjung sepanjang empat hari penganjuran, berdasarkan sambutan awal serta interaksi tinggi yang diterima menerusi promosi di media sosial.
Penganjur yang juga peneraju Choii Motorsport, Muhammad Faris Azri Md Hanif berkata, festival yang diadakan buat julung kali itu menghimpunkan kira-kira 60 pelumba drift dari seluruh Malaysia, selain memberi peluang kepada peminat permotoran untuk mendekati sukan berkenaan secara lebih dekat.
“Objektif utama penganjuran adalah untuk menarik minat golongan muda terhadap sukan permotoran, mengubah persepsi negatif terhadap budaya ‘mat rempit’ dengan menyediakan ruang dan saluran yang lebih tersusun.

“Setiap individu mempunyai minat masing-masing dan minat itu bergantung kepada kemampuan. Ada yang bermula dengan motosikal kecil, ada juga yang terus kepada jentera lebih besar.
“Program seperti ini boleh menjadi platform untuk anak-anak muda berkumpul dan menyalurkan minat mereka ke arah yang lebih positif, sama ada melalui trek atau acara yang dianjurkan,” katanya pada sidang media di sini.
Festival anjuran Choii Motorsport dengan kerjasama Petronas Sprinta dan Tunica Scent itu turut menampilkan pameran jentera Formula Satu (F1) yang pernah dipandu pelumba sensasi, Lewis Hamilton ketika bersama pasukan Mercedes AMG Petronas.
Selain itu, pengunjung turut berpeluang menyertai cabutan bertuah premium yang menawarkan sebuah kereta jenis Nissan Skyline R34, selain menyaksikan pelbagai aktiviti permotoran sepanjang festival berlangsung. – MalaysiaGazette
















