Muhammad Faizzuddin Mohd Zai

KUALA LUMPUR – Pemuda Pas Selangor mengecam kegagalan Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji untuk mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape pada tahun 2025 sekali gus menyifatkannya sebagai satu kegagalan serius dalam menjaga kesihatan awam dan masa depan generasi muda.

Naib Ketua Pemudanya, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, kekecewaan itu ditujukan khusus kepada Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin yang menurutnya gagal menunaikan komitmen yang pernah diumumkan kepada rakyat.

“Hari ini, 1 Januari 2026 menjadi bukti jelas janji tersebut hanyalah janji kosong, retorik politik PH dan tiada iltizam politik oleh PH Selangor untuk mengharamkan vape ini demi kepentingan kesihatan awam dan masa depan generasi muda Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Muhammad Faizzuddin, sepanjang tahun 2025, pelbagai kenyataan dan janji telah dibuat oleh kerajaan negeri termasuk hasrat membentangkan kertas cadangan ke Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN), arahan menurunkan iklan vape serta komitmen mengambil tindakan tegas terhadap penjualan bahan tersebut.

Namun, katanya, ketiadaan langkah pengharaman secara menyeluruh membuktikan kegagalan pentadbiran negeri menangani isu yang semakin membimbangkan itu.

“Dengan tiadanya langkah tegas iaitu pengharaman secara menyeluruh, vape yang akan merosakkan generasi muda negeri Selangor ini akan terus dijual termasuk di kawasan berhampiran sekolah serta lokasi-lokasi tumpuan remaja,” katanya.

Oktober tahun lalu, Selangor mencadangkan agar sebahagian hasil cukai daripada penjualan produk rokok elektronik atau vape disalurkan terus kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tujuan penguatkuasaan serta pendidikan awam.

Memetik kenyataan Jamaliah, katanya, langkah itu penting bagi memastikan hasil cukai yang dikutip dapat dimanfaatkan secara langsung untuk mengurus serta menangani kesan negatif penjualan dan penggunaan vape.

Dalam pada itu, Muhammad Faizzuddin turut menegaskan, kegagalan itu mencerminkan kelemahan tadbir urus kerajaan negeri serta kegagalan melindungi kepentingan awam khususnya golongan ibu bapa dan pendidik yang bimbang terhadap ancaman ketagihan nikotin dan kesan kesihatan jangka panjang.

“Pemuda Pas Selangor melihat kegagalan ini sebagai satu bukti Pakatan Harapan tidak cekap dalam tadbir urus negeri,” katanya.

Beliau turut menyelar kerajaan negeri yang disifatkan sering mendakwa sebagai negeri paling maju namun gagal mengambil langkah berani seperti beberapa negeri lain yang telah bertindak lebih tegas terhadap penjualan vape.

“Lebih mendukacitakan, ketika beberapa negeri lain berani mengambil langkah lebih tegas, Selangor yang sering mendakwa sebagai negeri paling maju terus gagal mengangkat nilai kesejahteraan dan kesihatan dalam hidup rakyat negeri Selangor,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast