Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan terdapat individu lain yang terbabit dalam kes yang dikaitkan dengan seorang pegawai kanan Tentera Darat Malaysia melibatkan projek tender perolehan pasukan terbabit.

Katanya, tindakan lanjut akan diambil berdasarkan hasil siasatan serta bukti yang diperoleh dari semasa ke semasa.

Sementara itu SPRM berkata, individu utama yang disyaki terlibat masih menerima rawatan perubatan menyebabkan keterangannya belum dapat diambil sepenuhnya setakat ini.

“SPRM menghormati aspek kesihatan serta hak individu berkenaan selaras prinsip undang-undang dan siasatan akan diteruskan sebaik sahaja beliau disahkan sihat oleh pihak perubatan.

“Tiada tempoh masa tetap ditetapkan bagi setiap fasa siasatan kerana ia bergantung kepada kerumitan kes, jumlah saksi yang perlu dirakam keterangan serta keperluan analisis dokumen dan kewangan yang terlibat,” katanya menerusi hantaran dalam Tik Tok, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, SPRM mengesahkan proses pengesanan dan sekatan aset sedang dijalankan.

Bagaimanapun katanya, nilai sebenar aset atau akaun bank yang terlibat tidak didedahkan buat masa ini kerana siasatan masih berjalan dan tidak semua aset dibekukan sepenuhnya.

Agensi itu menegaskan, siasatan kes tersebut dijalankan secara telus, profesional dan berlandaskan undang-undang tanpa sebarang campur tangan mana-mana pihak.

SPRM turut memberi jaminan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sebarang bentuk rasuah.

Media pada 27 Disember lalu melaporkan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan akan bercuti berkuat kuasa serta-merta bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan tertentu yang dilaporkan sebelum ini. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast