Dr. Mohd Azam Ahmad

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjelaskan bahawa cadangan penyelarasan pakaian seragam sekolah masih berada pada peringkat kajian dan belum dimuktamadkan untuk dilaksanakan dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd Azam Ahmad berkata, sebarang keputusan berkaitan perkara itu hanya akan dibuat selepas penelitian menyeluruh melibatkan semua aspek penting, termasuk kesannya terhadap murid, ibu bapa serta pihak sekolah.

“Keputusan akhir hanya akan dibuat selepas penelitian rapi semua aspek berkaitan untuk pelaksanaan pada Sesi Persekolahan Tahun 2027,” katanya satu kenyataan, malam ini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa tiada sebarang perubahan terhadap pakaian seragam sekolah bagi sesi persekolahan tahun 2026, sekali gus menamatkan kekeliruan yang timbul dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat.

Menurut beliau, KPM kekal komited untuk memastikan setiap dasar yang diperkenalkan mengambil kira kepentingan semua pihak, khususnya kesejahteraan murid dan kemampuan ibu bapa.

“KPM memberi jaminan bahawa sebarang keputusan berkaitan penyelarasan pakaian seragam akan dimaklumkan lebih awal kepada ibu bapa serta semua pihak berkepentingan bagi memastikan persediaan yang mencukupi dapat dibuat,” jelasnya.

Mengulas lanjut, KPM memaklumkan bahawa cadangan penyelarasan pakaian seragam sekolah bertujuan mewujudkan kebersamaan serta memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan murid daripada pelbagai latar belakang.

Selain itu, langkah berkenaan juga dilihat berpotensi membantu mengurangkan beban kewangan yang ditanggung ibu bapa dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast