Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) memaklumkan terdapat empat ketetapan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST), hari ini.

Pertama, Cukai Perkhidmatan ke atas perkhidmatan sewaan atau pajakan ditambah baik bagi memanfaatkan industri mulai 1 Januari 2026 dengan menyaksikan kadar cukai diturunkan kepada enam peratus berbanding lapan peratus sebelum ini.

Had jualan tahunan penyewa Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang dikecualikan daripada membayar Cukai Perkhidmatan dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM1.5 juta.

Manakala PMKS yang baru menubuhkan perniagaan diberi pengecualian cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan sewaan atau pajakan bagi tempoh 1 tahun mulai dari tarikh pendaftaran PMKS tersebut.

Kedua, Cukai Jualan ke atas bahan mentah atau input yang kritikal dan digunakan oleh pengilang berdaftar diberi pengecualian mulai 1 Januari 2026.

Langkah itu bertujuan untuk mengawal harga barangan keperluan asas kepada majoriti rakyat kerana ia meliputi pengeluaran barangan pertanian dan penternakan seperi makanan ternakan, baja dan racun.

Ketiga, pengecualian Cukai Perkhidmatan bagi perjanjian pembinaan yang ditandatangani sebelum 1 Julai 2025 dan tidak mempunyai reviewable clause diberi pelanjutan sehingga 30 Jun 2027 berbanding 30 Jun 2026 sebelum ini.

“Dengan ini, perjanjian perkhidmatan pembinaan yang telah ditandatangani sebelum peluasan SST dapat menikmati pengecualian ke atas Cukai Perkhidmatan selama 2 tahun,” kata MoF dalam satu kenyataan hari ini.

Keempat, Cukai Perkhidmatan ke atas perkhidmatan pembinaan bangunan ibadat seperti surau, masjid, kuil, gereja dan tokong yang bersifat keagamaan dan kerohanian diberi pengecualian mulai 1 Julai 2025.

Maka pembinaan bangunan ibadat tidak tertakluk kepada Cukai Perkhidmatan ke atas pembinaan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast