KUALA LUMPUR – Tujuh belas pengarah syarikat direman lima hari sehingga 10 Januari ini selepas disyaki terlibat dalam rangkaian kartel tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Perintah reman terhadap kesemua suspek dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
SPRM dalam hantaran di TikTok memaklumkan, kesemua suspek terdiri daripada sembilan lelaki dan lapan wanita berusia lingkungan 20 hingga 60-an telah ditahan di antara jam 8.30 malam hingga 11.30 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya.

Siasatan awal mendapati, kesemua suspek disyaki membayar wang rasuah kepada pegawai kanan TDM sebagai balasan bagi mendapatkan projek-projek pembekalan dan penyelenggaraan dengan TDM.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(b) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette
















