KUALA LUMPUR – Majlis Perubatan Malaysia (MPM) berjaya meluluskan 10,088 permohonan Perakuan Amalan Tahunan (PAT) dalam tempoh lapan hari pertama tahun ini, setakat pukul 8 pagi tadi.
MPM dalam satu kenyataan berkata, kelulusan itu melibatkan 13,603 permohonan PAT yang masih tertunggak dan menunggu semakan lanjut setakat 31 Disember lalu.
Menurutnya, sepanjang tahun lalu pula, MPM telah berjaya meluluskan sebanyak 70,274 permohonan PAT.
Secara teknikal, katanya, MPM telah selesai membuat semakan

kesemua permohonan yang tertunggak.
“Baki permohonan telah dimajukan kepada pengamal perubatan untuk tujuan kemas kini maklumat atau penyelesaian kuiri,” katanya.
Kenyataan itu menambah, pengamal perubatan disaran menyemak status permohonan di dalam sistem MeRITS secara berkala memandangkaan pengamal yang menerima kuiri perlu memberikan maklum balas dan melengkapkan kemas kini dengan kadar segera.
Katanya, ia bagi membolehkan MPM memuktamadkan proses kelulusan tanpa sebarang kelewatan tambahan.
Ujarnya, MPM kekal komited untuk memastikan semua permohonan PAT diproses dalam tempoh yang ditetapkan, tertakluk kepada pematuhan syarat dan kelengkapan dokumen yang dikemukakan oleh pengamal perubatan.
Dalam masa sama, tambahnya, langkah-langkah penambahbaikan dalaman sedang dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan sistem dan mengelakkan isu yang sama daripada berulang pada masa hadapan.
“MPM menghargai kesabaran dan kerjasama para pengamal perubatan sepanjang tempoh ini.
“Keutamaan kami adalah memastikan kelangsungan amalan perubatan yang sah di sisi undang-undang serta menjamin perlindungan profesional kepada semua pengamal perubatan di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette
















