KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan kerana disyaki memaksa seorang wanita melakukan aksi tidak senonoh serta melarikan telefon bimbit mangsa dan teman lelakinya dalam kejadian yang dilaporkan berlaku di kawasan Ayer Panas, Setapak di sini, pada Selasa lepas.
Suspek yang berusia 24 tahun itu ditahan di Kota Damansara keesokkan harinya.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, ACP Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada seorang wanita berbangsa Cina berusia 19 tahun kira-kira pukul 6.23 petang pada Rabu.
Katanya, ketika kejadian mangsa didatangi seorang lelaki yang menuduh mangsa dan teman lelakinya melakukan perbuatan tidak senonoh di dalam sebuah kereta.
“Suspek kemudiannya bertindak mengambil kad pengenalan mangsa dan teman lelakinya sebelum memaksa mangsa melakukan aksi tidak senonoh bersamanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, selepas kejadian tersebut, suspek melarikan diri bersama telefon bimbit milik mangsa dan teman lelakinya.
Beliau berkata, hasil siasatan awal membawa kepada penahanan suspek yang merupakan seorang lelaki Melayu.
“Permohonan reman ke atas suspek telah dibenarkan selama tujuh hari bermula 8 Januari hingga 14 Januari 2026 bagi membantu siasatan,” jelasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan perbuatan seksual tanpa kerelaan.
Polis memaklumkan siasatan masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan. – MalaysiaGazette
















