KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil berseloroh menyarankan Menteri Besar Selangor, para exco dan penyokongnya supaya berpindah ke Bukit Tagar, kawasan berdekatan ladang babi yang menjadi kontroversi.
Dengan tindakan berkenaan, barulah kepimpinan Selangor akan memahami bantahan penduduk Selangor terhadap cadangan untuk menjadikan negeri berkenaan sebagai pengeksport babi terbesar ke Singapura.
“Selepas itu baru boleh sembang yang kononnya ladang babi ini selamat dan bersih untuk penduduk setempat. Taatlah kepada titah DYMM Sultan Selangor.
“Jika orang Singapura mahu makan dan import babi besar-besaran, importlah babi dari negara lain, bukan import babi dari negara yang rakyatnya rata-rata umat Islam,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Tegasnya lagi, sebagai Menteri Besar, Datuk Amirudin Shari sepatutnya membela dan melindungi rakyat Selangor dari pencemaran babi, bukannya sebaliknya.
Semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat dukacita dan tidak bersetuju dengan perancangan kerajaan negeri yang membenarkan operasi penternakan babi di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat mulai tahun ini, sebelum dipindahkan ke kawasan Bukit Tagar pada 2030.
Menurut kenyataan Istana Alam Shah, ia khususnya apabila ada kemungkinan perancangan itu melibatkan pembangunan penternakan babi secara berskala besar dan berorientasikan eksport ke luar negara.
Susulan itu, Amirudin dilaporkan berkata, Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor akan mengadap Sultan Selangor pada Isnin ini bagi tujuan menyembah maklum dan membentangkan perincian keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berhubung pengoperasian industri penternakan bab di kawasan itu.- MalaysiaGazette
















