KUALA LUMPUR — Bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan telah mengemukakan surat permohonan untuk bersara daripada perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hasrat berkenaan dimaklumkan menerusi sepucuk surat yang diserahkan melalui peguam beliau.
Menurutnya, Majlis Angkatan Tentera sebelum ini telah membuat keputusan untuk melantik Muhammad Hafizuddeain sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia (PAT) namun pelantikan itu ditangguhkan susulan kes yang sedang dihadapi beliau.
“Keputusan untuk menjawat jawatan PAT yang sepatutnya berkuat kuasa pada 1 Januari tahun ini tidak dilaksanakan dan ditangguhkan kerana kes yang beliau hadapi.
“Maka dengan permohonan bersara awal itu, jawatan PAT kini kosong,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan 2026 di Wisma Perwira ATM di sini, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, buat masa ini, jawatan PAT dipangku oleh Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan proses untuk melantik PAT yang baharu akan dimulakan termasuk mengemukakan calon kepada Yang di-Pertuan Agong bagi tujuan pengenalan dan perkenan.
“Proses ini akan mengambil masa kerana ia melibatkan prosedur tertentu yang perlu dilalui,” katanya.
Mengulas mengenai tempoh masa pelantikan baharu, Mohamed Khaled berkata, tiada garis masa khusus ditetapkan memandangkan jawatan tertinggi itu perlu melalui proses Majlis Angkatan Tentera serta mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Media sebelum ini melaporkan Muhammad Hafizuddeain akan bercuti berkuat kuasa serta-merta bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan tertentu yang dilaporkan membabitkan Panglima Tentera Darat. — MalaysiaGazette
















