KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor digesa agar segera meminda Enakmen Pengawalan Penternakan Babi (Pindaan) 2010 bagi memastikan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berhubung pengurusan sektor itu dapat dikuatkuasakan secara berkanun.
Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, tindakan mendokumentasikan titah diraja ke dalam undang-undang negeri adalah perlu bagi mengelakkan ia sekadar menjadi kenyataan dasar tanpa kekuatan penguatkuasaan.
“Ketetapan titah Baginda Sultan Selangor adalah langkah yang jelas, berprinsip dan berpaksikan kepentingan rakyat serta kelestarian alam sekitar.
“Titah tersebut menetapkan tiada lagi operasi penternakan babi di Tanjong Sepat dan perlu dipindahkan ke Bukit Tagar selain skala pengeluaran terhad kepada keperluan rakyat bukan Islam di Selangor sahaja tanpa melibatkan eksport.
“Namun, perlu ditegaskan, kesemua ketetapan ini belum terkandung di dalam Enakmen Pengawalan Penternakan Babi (Pindaan) 2010 Negeri Selangor,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga merupakan Ketua Penerangan Wanita Perikatan Nasional berkata, enakmen sedia ada hanya untuk mengawal aspek teknikal seperti lesen dan kebersihan tetapi tidak mengikat kerajaan untuk mematuhi zon larangan atau had pengeluaran seperti yang dititahkan Tuanku.
“Kewujudan jurang antara titah diraja dan undang-undang bertulis boleh mengakibatkan dasar tersebut berisiko diputar belit, dilengah-lengahkan atau diketepikan oleh pihak eksekutif,” katanya.
Beliau turut mendesak agar pindaan segera dibuat bagi memasukkan larangan berkanun terhadap penternakan di mana-mana tempat kecuali Bukit Tagar, had pengeluaran berdasarkan keperluan domestik serta larangan mutlak penggunaan dana awam bagi operasi tersebut. -MalaysiaGazette
















