KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memandang serius isu tatakelola dan penyalahgunaan kuasa dan sedang melaksanakan langkah rombak dan rawat serta penambahbaikan berkaitan tatakelola pengurusan dan pentadbiran secara teratur, berfakta dan berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada.
Jawatankuasa Panglima-Panglima (JPP) ATM menegaskan tindakan itu selari dengan amanat yang disampaikan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam Majlis Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan pada 12 Januari lalu.
Sehubungan itu, JPP memohon agar semua pihak memberi ruang yang sewajarnya kepada ATM untuk memperbetulkan keadaan melalui mekanisme dan proses yang telah ditetapkan, tanpa sebarang tekanan atau spekulasi yang boleh menjejaskan ketelusan usaha berkenaan.
Lantaran itu, JPP menyeru seluruh pegawai dan anggota ATM terus kekal bersatu, berdisiplin serta menaruh keyakinan terhadap proses penguatkuasaan dan kerangka undang-undang sedia ada.
Sebarang penyaluran maklumat yang bersifat sensitif hendaklah dilaksanakan melalui saluran yang sah dan mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
“ATM tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ketidakpatuhan kepada undang-undang, peraturan atau nilai teras perkhidmatan, dan yakin bahawa setiap isu akan ditangani secara adil, telus dan profesional melalui mekanisme yang sewajarnya,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Markas ATM, Bahagian Perisikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan, hari ini.
Kenyataan ini dibuat oleh JPP yang dianggotai oleh Panglima Tentera Laut selaku Pemangku Panglima Angkatan Tentera, Panglima Tentera Darat dan Panglima Tentera Udara selepas meneliti secara mendalam dan menyeluruh berkenaan isu semasa yang melibatkan ATM.
Katanya, perbincangan ini mencerminkan kesepaduan kepimpinan tertinggi ATM dalam memastikan kestabilan institusi, keutuhan tatakelola serta keyakinan rakyat terhadap pasukan pertahanan negara terus terpelihara.
Sehubungan itu, JPP memohon agar semua pihak berkepentingan menitikberatkan keutuhan ATM sebagai sebuah pasukan keselamatan negara yang memikul amanah mempertahankan kedaulatan tanah air.
Tegasnya, pendekatan yang seimbang, berprinsip dan berlandaskan undang-undang amat penting bagi memastikan keadilan ditegakkan tanpa menjejaskan kestabilan institusi strategik negara.
JPP berkata, ATM menghormati kebebasan orang awam untuk menyuarakan pandangan secara bertanggungjawab sebagai sebahagian daripada amalan demokrasi.
Namun, penyebaran maklumat yang tidak sahih dan bersifat spekulatif pasti mengundang kekeliruan dan salah tafsir yang lebih membawa kemudaratan kepada imej ATM.
“Justeru, kepimpinan ATM memberikan sepenuh komitmen untuk bekerjasama dengan pihak berautoriti demi memastikan kebenaran ditegakkan serta keyakinan rakyat terhadap ATM terus terpelihara.
“JPP turut memberi jaminan bahawa ATM akan terus berdiri sebagai sebuah institusi pertahanan negara yang profesional, berintegriti dan diyakini, serta kekal komited melaksanakan amanah mempertahankan kedaulatan dan keselamatan Malaysia tanpa sebarang kompromi,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

















semoga Allah memberi kekuatan kepada kepimpinan angkatan tentera Malaysia dan nusantara dalam lindungan Allah hingga hari kiamat.