KUALA LUMPUR – Kehilangan Nadia Kesuma disedari pihak agensi umrah yang disertainya apabila pelakon itu tidak berkumpul di lokasi yang ditetapkan semasa penerbangannya ke London sedang transit sementara di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah.
Agensi umrah Nuh Travel & Tours Sdn. Bhd menjelaskan, Nadia Kesuma atau nama sebenarnya Nadiah Kasumawati Abdul Karim bersama 21 jemaah lain yang menyertai Pakej Umrah Ziarah London dan Paris telah diberikan taklimat oleh Ketua Rombongan Nuh Travel
Ini termasuk lokasi untuk berkumpul semula bagi meneruskan perjalanan selepas masing-masing selesai urusan peribadi seperti ke tandas dan berehat.
Pihak agensi umrah tersebut turut menguruskan proses daftar masuk dan mengeluarkan dua pas masuk penerbangan kepada beliau, masing-masing bagi sektor Kuala Lumpur – Jeddah dan Jeddah – Heathrow (London).
“Namun demikian, ketika semua jemaah telah berkumpul dan beratur untuk penerbangan seterusnya ke London, Puan Nadiah didapati tidak berada bersama kumpulan. Ketua rombongan telah segera memaklumkan perkara ini kepada pihak pengurusan Lapangan Terbang Jeddah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah kenyataan itu, pihak lapangan terbang seterusnya membuat pengumuman awam sebanyak tiga kali dengan menyebut nama beliau agar segera ke balai berlepas.
Usaha pencarian turut dilakukan oleh ketua rombongan di sekitar kawasan lapangan terbang, namun beliau masih gagal ditemui,
Oleh kerana tempoh menunggu yang lama dan arahan operasi penerbangan, pesawat tersebut akhirnya berlepas ke London tanpa kehadiran beliau.
Katanya, perkara tersebut segera dimaklumkan kepada Ibu Pejabat Nuh Travel di Malaysia dan tindakan pantas diambil dengan menghubungi petugas mereka di Mekah dan Jeddah.
Berita tersebut turut dimaklumkan kepada suami beliau serta pihak muassasah Nuh Travel & Tours di Arab Saudi.
Usaha pencarian juga digerakkan secara berterusan dengan kerjasama pihak berkuasa dan pengurusan Lapangan Terbang Jeddah.
















