KUALA LUMPUR – Kementerian Luar Negeri, melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah, Arab Saudi terus berurusan dengan pihak berkuasa tempatan bagi menyegerakan usaha pencarian seorang warganegara Malaysia telah dilaporkan hilang di Jeddah sejak 15 Januari 2026.
Selain itu, kementerian turut memberikan bantuan konsular kepada waris, serta sentiasa berhubung rapat dengan pihak-pihak yang berkaitan.
Dalam kenyataan hari ini, kementerian mengesahkan seorang warganegara Malaysia telah dilaporkan hilang di Jeddah sejak 15 Januari 2026.
Menurutnya, sejak laporan diterima, Konsulat Jeneral telah segera melaksanakan tindakan penyelarasan bersama pihak berkuasa tempatan dan pihak berkaitan, termasuk menggerakkan pegawainya ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz bagi menjalankan usaha pencarian berdasarkan lokasi terakhir individu tersebut.
Pada 16 Januari 2026, Konsulat Jeneral telah memudah cara agensi pelancongan Malaysia yang berkaitan serta rakan kongsi tempatan mereka di Jeddah untuk membuat laporan polis rasmi selaras dengan keperluan peraturan di Arab Saudi.
Kementerian menegaskan komitmennya dalam memastikan kebajikan dan keselamatan setiap warganegara Malaysia di luar negara serta menekankan butiran terperinci dan perkembangan berkaitan kes ini hanya akan dikongsi kepada ahli keluarga terdekat demi menghormati privasi pihak-pihak yang terlibat.
Jelasnya, prinsip tidak mendedahkan maklumat kepada pihak yang tidak berkaitan ini bertujuan bagi memastikan proses siasatan berjalan lancar demi mencapai keputusan yang terbaik serta mengelakkan sebarang kekhilafan fakta berkaitan pihak-pihak yang terlibat.
Dalam pada itu, warganegara Malaysia yang ingin memberikan maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi pihak Kementerian dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah di butiran yang disediakan di bawah:
KONSULAT JENERAL MALAYSIA DI JEDDAH
Nombor telefon: +966-12-6727740 / +966-12-6728019 / +966-12-6760877
Emel: [email protected]
– MalaysiaGazette
















