KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diarahkan untuk tidak lagi meminta bukti keluar negara bagi membolehkan orang ramai mendapatkan cetakan kad fizikal Lesen Memandu Malaysia (LMM).
Kementerian Pengangkutan berkata, langkah yang berkuatkuasa esok itu diambil bagi mengurangkan kerenah birokrasi.
“MOT sentiasa mengumpul maklum balas agar penambahbaikan berterusan boleh dilaksanakan.
“Antara maklum balas yang diterima adalah permintaan kad fizikal LMM oleh sesetengah rakyat Malaysia yang mahu melancong dan memandu di luar negara.
“Berdasarkan peraturan sedia ada, pemandu boleh memohon kad fizikal LMM dengan menunjukkan bukti keluar negara seperti tiket penerbangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut MOT, orang ramai hanya perlu membayar fi cetakan sebanyak RM20 bagi warganegara Malaysia dan RM100 untuk bukan warganegara.
Katanya, orang ramai mempunyai pilihan untuk memohon cetakan kad fizikal LMM di semua kaunter JPJ dan UTC seluruh negara, secara terbuka dan tidak terhad kepada kategori yang ditetapkan pada sebelum ini.
Sejak LMM digital diperkenalkan pada Februari 2023, jumlah pengguna Aplikasi MyJPJ telah mencecah 13 juta setakat ini, mencerminkan penerimaan yang meluas oleh orang ramai terhadap inisiatif pendigitalan itu.
Trend tersebut adalah amat menggalakkan dan menanda pengguna telah mula menyesuaikan diri kepada konsep digital sebagai pilihan yang lebih mudah, di mana LMM boleh diperbaharui secara dalam talian melalui aplikasi MyJPJ dan dikeluarkan Lesen Memandu Digital tanpa perlu ke Pejabat JPJ. -MalaysiaGazette
















